KAWASAN tebing Sungai Kupang yang dulunya meriah dan ramai peniaga kini sunyi sepi. FOTO Safuri Kamarudin
KAWASAN tebing Sungai Kupang yang dulunya meriah dan ramai peniaga kini sunyi sepi. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin

Baling: Penduduk di Kampung Iboi dan Padang Empang, Kupang serta kampung berdekatan yang dilanda banjir puing dua tahun lalu meminta kerajaan meneruskan pembangunan untuk rakyat di kawasan itu.

Penduduk mendakwa, hidup mereka sukar selepas tragedi 4 Julai 2022 lalu itu kerana banyak harta benda yang musnah, termasuk kerosakan dalam sektor pertanian dan penternakan.

Penduduk Azizan Aziz, 54, berkata, kerajaan yang dipilih rakyat mesti meneruskan pembangunan di kampung itu.

Katanya, selepas peristiwa itu kawasan tebing Sungai Kupang, yang dulunya meriah dan ramai peniaga kini sunyi sepi kerana tidak ada pembangunan yang dibangunkan di kawasan itu.

"Kawasan yang dilanda banjir sunyi sepi dan tidak meriah seperti dulu lagi. Suara rakyat perlu didengar (dalam meminta pembangunan semula di kawasan itu)," katanya ketika ditemui, hari ini.

Azizan turut menyuarakan kebimbangan sekiranya hujan lebat dan berlaku banjir lagi, tidak mustahil jambatan Bailey yang baru dibina di situ runtuh akibat hakisan tebing.

"Struktur jambatan Bailey tidak kukuh lagi dan hanya dilalui kenderaan kecil sahaja," katanya.

Seorang lagi penduduk, Abdul Malik Arshad, 60, berkata, rata-rata penduduk hidup tidak selesa lagi kerana setiap kali berlaku banjir air akan melimpah ke penempatan mereka.

"Keadaan kampung tidak tersusun lagi dan air Sungai Kupang kerap melimpah apabila hujan serta berlaku banjir.

"Malah aliran Sungai Kupang dari Lata Chelak tidak teratur dan keruh setiap masa serta penuh dengan sampah sarap dan bongkah kayu," katanya.

Dalam tragedi dua tahun lalu itu, tiga nyawa terkorban akibat banjir puing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 11:50 AM