DJOKOVIC membalas pukulan Kopriva di pusingan pertama Wimbledon, hari ini. FOTO REUTERS
DJOKOVIC membalas pukulan Kopriva di pusingan pertama Wimbledon, hari ini. FOTO REUTERS
Reuters

London: Novak Djokovic mara ke pusingan kedua Wimbledon selepas menewaskan pemain pusingan kelayakan dari Republik Czech, Vit Kopriva, hari ini.

Selepas sebulan tersisih kerana pembedahan lutut, Djokovic tampil ke perlawanan pertama dengan pelbagai persoalan mengenai kesihatannya, namun dia menguasai Centre Court dengan kemenangan mudah, 6-1, 6-2, 6-2.

Bintang Serbia berusia 37 tahun itu melakukan 10 servis ace dan meraih mata 90 peratus menerusi servis pertamanya (35 daripada 39).

"Saya cuba fokus kepada perlawanan dan tidak terlalu memikirkan mengenai keadaan lutut. Saya melakukan segala yang mungkin bersama pasukan pada lebih tiga minggu kebelakangan ini bagi memberi peluang kepada saya bermain di depan anda hari ini," kata Djokovic.

"Saya fikir, jika bukan kerana kejohanan ini, saya tidak akan mengambil risiko. Tetapi, saya sukakan Wimbledon. Saya suka kembali bermain di sini."

Juara Wimbledon sebanyak tujuh kali itu memperbaiki rekod 19-0 kemenangan pada pusingan pertama di Wimbledon.

Menantinya di pusingan kedua esok adalah pemain Great Britain, Jacob Fearnley, yang menang 7-5, 6-4, 7-6 (12) ke atas pemain Sepanyol, Alejandro Moro Canas.

Kopriva, 27, bermain kali kedua di Grand Slam selepas kemunculan pertama dengan kekalahan di pusingan pertama Terbuka Australia, Januari lalu.

Namun, pilihan keenam, Andrey Rublev dari Russia ditunjukkan pintu keluar oleh pemain ranking ke-122 dunia, Francisco Comesana dari Argentina.

Pada penampilan sulung Grand Slam dan perlawanan kedua dalam kariernya di gelanggang rumput, Comesana menumpaskan Rublev 6-4, 5-7, 6-2, 7-6 (5).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 8:36 AM