KEADAAN sekitar Kampung Iboi selepas dilanda banjir kilat. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
KEADAAN sekitar Kampung Iboi selepas dilanda banjir kilat. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Noorazura Abdul Rahman


Baling: Banjir kilat yang melanda Kampung Iboi buat kali ketiga kelmarin disifatkan seakan-akan kejadian pada awal Julai lalu.

Malah dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, jambatan Bailey yang dibina dua bulan lalu rosak manakala jalan yang menghubungkan Kampung Iboi dan Kampung Masjid Iboi terputus.

Tinjauan di kampung berkenaan pagi semalam mendapati kerja membaik pulih jambatan sedang dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Jalan dan jambatan itu ditutup kepada orang ramai bagi memberi laluan kepada usaha membaik pulih termasuk mengalihkan puing seperti batang kayu dan akar pokok, malah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut melakukan kerja mendalamkan Sungai Kupang menggunakan jengkaut dan jentolak.

Bagaimanapun, keadaan cuaca yang mendung dan dijangka hujan meresahkan penduduk yang tinggal di tepi sungai berkenaan.

Penduduk, Tahar Lah Ahmad, 80, berkata, hujan lebat kira-kira jam 5 petang menyebabkan aliran air deras mula melimpahi jambatan Bailey pada jam 7 malam.

"Air sungai mula melimpah dan apabila azan Maghrib berkumandang, air sungai bertambah deras dan saya dengar seperti ada letupan sebelum nampak jambatan Bailey ini mula beralih.

"Tidak sampai dua minit, tebing sungai runtuh sebelah kiri dan menyebabkan air sungai dan puing menghentam jalan. Sekiranya tebing sungai tidak pecah berkemungkinan jambatan ini akan dihanyutkan," katanya yang tinggal kira-kira lima meter dari Lata Chelak itu.

Tahar berkata, air hanya mulai surut kira-kira 8.30 malam dan menyebabkan jalan yang menghubungkan jambatan berkenaan pecah dan rosak.

Katanya, penduduk kali ini bernasib baik apabila hanya tiga peratus puing dihanyutkan berbanding kejadian pada 4 Julai lalu yang menghanyutkan lebih banyak kayu dan balak.

"Saya tidak tidur lena malam kerana keadaan cuaca tidak menentu. Jika hujan bimbang banjir berulang.

"Sebelum ini, kedai kek dan roti anak saya di depan rumah ini dihanyutkan arus. Jadi, saya sudah bersiap sedia selamatkan dokumen penting kerana kami tidak pernah tenang selepas kejadian 4 Julai lalu," katanya.

Media sebelum ini melaporkan banjir di Baling pada 4 Julai lalu menjejaskan 41 kawasan dan mengorbankan tiga sekeluarga termasuk seorang wanita hamil berusia 23 tahun.

KEADAAN sekitar Kampung Iboi selepas dilanda banjir kilat.
KEADAAN sekitar Kampung Iboi selepas dilanda banjir kilat.

Seorang lagi penduduk, Abdul Rahman Ahmad, 68, berkata, kejadian kelmarin menyebabkan kedainya yang baru dibuka dua minggu lalu mengalami sedikit kerosakan.

"Sebelum ini, saya tidak berhasrat untuk berpindah ke tempat lain kerana sudah lebih 30 tahun di sini, tapi memandangkan kejadian semalam (kelmarin) saya rasa perlu berniaga di tempat lain.

"Kejadian terbaharu itu menyebabkan rumah saya dimasuki air ke paras dua meter manakala kedai saya satu meter.

Abdul Rahman berkata, dia kini sudah berpindah ke rumah yang disewa namun masih lagi menjalankan perniagaan kedai runcit berhampiran rumahnya di Lata Chelak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shamsudin Mamat berkata, tiada laporan diterima mengenai kehilangan ahli keluarga.

Katanya, bagaimanapun jambatan Bailey dinaiki air dan berlaku kerosakan struktur pada jambatan itu yang kini ditutup untuk semua kenderaan dan pejalan kaki," katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, semua 130 mangsa yang berada di dua pusat pemindahan sementara (PPS) tidak dibenarkan pulang kerana rumah mereka masih tidak selamat dan keadaan cuaca kembali gelap.

Katanya, seramai 96 mangsa daripada 31 keluarga berada di PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, manakala 34 mangsa daripada enam keluarga berada di PPS Dewan Masjid Al-Huda, Kampung Hangus, Kupang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 6:30 AM