GAKPO melakukan percubaan ke gawang Romania. -FOTO AFP
GAKPO melakukan percubaan ke gawang Romania. -FOTO AFP
Agensi

Munich: Ronald Koeman memuji prestasi "cemerlang" Belanda menentang Romania, ketika mereka mara ke suku akhir Euro 2024 dengan kemenangan 3-0.

Cody Gakpo menjaringkan gol - menyertai senarai penjaring terbanyak kejohanan itu dengan tiga gol manakala Donyell Malen yang dimasukkan dari bangku simpanan menjaringkan dua gol untuk mengatur pertembungan di suku akhir menentang Turkiye, yang menewaskan Austria 2-1.

Belanda mara ke peringkat kalah mati sebagai salah satu pasukan terbaik di tempat ketiga, berikutan kekalahan mengecewakan 2-3 di tangan Austria dalam perlawanan terakhir Kumpulan D mereka.

Bagaimanapun prestasi Oranje semakin bertambah baik apabila mereka menyingkirkan juara Kumpulan E, Romania, dan Koeman menegaskan pemainnya mesti mengekalkan tahap prestasi ini menuju ke penghujung kejohanan.

"Adakalanya sukar untuk menyatakan mengapa anda bermain teruk dalam satu perlawanan dan kemudian boleh mencapai tahap tinggi pada perlawanan seterusnya.

"Kami bermula dengan baik awal hari ini dan itu menjadikannya berbeza. Mungkin, satu titik kritikal ialah ia mengambil masa terlalu lama untuk menjaringkan gol kedua.

"Keputusan sentiasa menjadi perkara yang paling penting, tetapi kami adalah Belanda dan di Belanda, kami perlu bermain dengan baik dan menyerang. Kami tahu itu.

"Keseluruhan persembahan hari ini adalah cemerlang dan itulah yang perlu kami lakukan untuk meneruskan kejohanan ini. Jika prestasi kami lebih buruk dari yang ini, kami tidak akan ke final.

Koeman adalah sebahagian daripada pasukan Belanda yang berjaya pada Kejohanan Eropah 1988, yang juga diadakan di Jerman.

Beliau berkata sukar untuk membandingkan pasukan dari era berbeza kerana permainan itu sudah berubah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 7:50 AM