Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Pelakon kontroversi, Aliff Aziz dan Ruhainies hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini untuk mendengar sebutan bersabit kes tangkapan khalwat mereka. 

Pasangan itu tiba di mahkamah jam 9.05 pagi bersama peguam syarie Hadi Salleh dan Amirul Ashraf Ghani yang mewakili mereka berdua.

Pasangan ini turut meminta semua pihak mendoakan yang terbaik untuk kes mereka. 

"Terima kasih  kepada semua, kami hargai rakan-rakan media yang hadir.

"Tiada apa yang dipinta selain prosiding hari ini berjalan dengan lancar," kata Aliff. 

Sementara itu, Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas hanya berharap orang ramai mendoakan yang terbaik.

"Doakan yang terbaik untuk kami semua," katanya ringkas.

Peguam syarie, Hadi Salleh berkata, sebutan untuk hari ini untuk mahkamah baca pertuduhan khalwat yang sudah dibaca di mahkamah sebelum ini.

"Ia juga akan merekod pengakuan bersalah atau tidak bersalah daripada mereka," katanya.

Terdahulu pada 20 Jun lalu, pasangan ini dilihat hadir di mahkamah sama dan berada di sana selama tiga jam. Mereka tiba di mahkamah jam 8.40 pagi dan dilihat beredar jam 11.50 pagi.

Aliff Aziz dan Ruhainies hadir di mahkamah pada perbicaraan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Aliff Aziz dan Ruhainies hadir di mahkamah pada perbicaraan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 9:53 AM