GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Putrajaya: Kaut keuntungan mudah melalui kaedah menjual beras seludup dan tanpa lesen di platrform e-dagang terkenal.

Taktik itu bagaimanapun terbongkar apabila sebanyak 94 iklan berkaitan penjualan beras secara dalam talian sudah diturunkan oleh penyedia platform e-dagang sejak 1 Oktober 2023 hingga 31 Mei lalu.

Semakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Kawalselia Padi dan Beras (KPB) mendapati penjual beras secara

dalam talian itu tidak mempunyai lesen runcit yang dikeluarkan oleh KPB dan

beras yang dijual dipercayai diperoleh dari sumber tidak sah.

KPKM dalam kenyataannya tadi memaklumkan, padi dan beras adalah barang kawalan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan peraturan-peraturan di bawahnya.

"Sebarang urusniaga melibatkan barang kawalan di peringkat kilang, borong dan runcit termasuk jualan secara dalam talian memerlukan lesen dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras.

"Ketiadaan lesen barang kawalan beras adalah kesalahan di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996," katanya.

Tambahnya, di samping itu, beras yang dijual kepada pengguna dalam talian disyaki adalah beras yang dibawa masuk ke dalam negara tanpa mendapat kelulusan Kerajaan.

"Perbuatan ini adalah satu kesalahan mengikut Peraturan 10(1)(a) Peraturan Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996.

"Penjual barang kawalan beras yang menggunakan platform e-dagang adalah terikat dengan perundangan yang berkuatkuasa iaitu Akta 522 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

"Justeru, pihak KPB sentiasa memantau aktiviti penjualan beras

menggunakan platform dalam talian dengan kerjasama penyedia platform e-dagang berkenaan bagi membendung aktiviti berkenaan terus berleluasa," katanya.

KPB juga ingin mengingatkan kepada peniaga bahawa penjualan secara dalam talian barangan kawalan padi dan beras perlu mematuhi mana-mana perundangan yang sedang berkuatkuasa.

"Sekiranya didapati bersalah, pihak terlibat boleh didenda sehingga RM25,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau

kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 9:50 AM