SEBAHAGIAN rakyat Malaysia menjadi mangsa pemerdagangan manusia yang diselamatkan MHO.
SEBAHAGIAN rakyat Malaysia menjadi mangsa pemerdagangan manusia yang diselamatkan MHO.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang diselamatkan selepas menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia didapati kembali semula ke negara operasi sindiket terbabit disebabkan sikap tamak.

Perkara itu didedahkan Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) Daniel Khoo berdasarkan dapatan pihaknya yang turut terbabit secara langsung dalam misi menyelamatkan mangsa pemerdagangan manusia sejak 2021.

Daniel berkata, sejak tempoh itu, lebih 20 misi membawa pulang rakyat Malaysia dijalankan MHO dengan kerjasama kerajaan menerusi Wisma Putra, pihak kedutaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Memang ada mangsa yang diselamatkan kembali semula bekerja bersama sindiket tetapi jumlahnya rendah berbanding keseluruhan mereka yang diselamatkan.

"Berdasarkan maklumat daripada mangsa sendiri, mereka ini terpedaya dengan sindiket penipuan kerja luar negara kerana tamak dan mahu dapat wang dengan cara mudah.

"Kebanyakannya terpengaruh dengan iklan tawaran pekerjaan di laman sosial, selain ada juga pengaruh rakan yang mengajak mereka bekerja di luar, contohnya di Thailand dengan tawaran gaji sekitar RM5,000 seminggu sebelum akhirnya menjadi mangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkaitan kira-kira 90 peratus rakyat Malaysia yang dikatakan menjadi mangsa pemerdagangan manusia didapati bukanlah mangsa sebenar, sebaliknya terbabit dalam sindiket jenayah penipuan di luar negara.

Daniel berkata, berdasarkan pengalaman, pihaknya mendapati tiada kes sedemikian berlaku dan hanya kes mangsa yang kembali semula ke negara seperti Myanmar, Filipina, Kemboja dan Thailand untuk bekerja dengan sindiket sama.

"Kami cadangkan supaya kerajaan menyenarai hitam pasport bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun terhadap mangsa pemerdagangan manusia yang berjaya diselamatkan sebagai pengajaran dan mengelak mereka mengulanginya.

"Selain itu, kerajaan turut dicadang supaya memperhebat kempen kesedaran dan memperketatkan perjalanan keluar ke negara berisiko dengan kes sindiket penipuan," katanya.

Konon mangsa rupanya terbabit sindiket

Kira-Kira 90 peratus rakyat Malaysia yang dikatakan menjadi mangsa pemerdagangan manusia didapati bukanlah mangsa sebenar, sebaliknya terbabit dalam sindiket jenayah penipuan di luar negara.

Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika pembentangan laporan pemerdagangan manusia dalam Mesyuarat Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) pada 26 Februari lalu.

Beliau berkata, individu yang dikatakan menjadi mangsa turut menjawat jawatan tinggi di syarikat mereka bekerja dan ada yang bekerja secara sukarela di negara terbabit.

"Jadi ia bukan penipuan daripada segi kerja secara amnya, tetapi mereka adalah penjenayah yang terbabit dalam sindiket penipuan. Apabila mereka hadapi masalah didera oleh majikan atas faktor-faktor lain, tidak dibenarkan balik, barulah mereka tampil ke hadapan buat laporan kononnya mereka ditipu.

"Tetapi mereka adalah sebahagian daripada operator sindiket penipuan kerja ini. Ini laporan PDRM yang kita terima," katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, kelmarin.

Beliau menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang ingin tahu usaha kerajaan dalam membendung masalah kes pemerdagangan rakyat Malaysia.

Khoo sebelum itu mencadangkan supaya pemantauan dibuat terhadap rakyat Malaysia yang mendapat tawaran pekerjaan di luar negara, memperhebat kempen kesedaran berhubung aktiviti pemerdagangan manusia serta meningkatkan kerjasama negara-negara Asean dalam membanteras isu terbabit.

Berdasarkan pemerhatian, Mohamad berkata, bilangan laporan yang diterima juga menunjukkan penurunan dalam trend semasa namun sedar, terdapat warga Malaysia yang masih bekerja dengan sindiket terbabit.

Beliau berkata, sindiket itu beroperasi merekrut rakyat Malaysia melalui medium pengiklanan media sosial seperti Facebook, WeChat dan WhatsApp untuk bekerja di luar negara dengan tawaran menarik seperti gaji lumayan, tambang penerbangan serta penginapan percuma selain kebebasan berjudi secara pinjaman.

"Apabila sampai di destinasi, mereka akan bekerja sebagai scammer dan melakukan operasi penipuan secara dalam talian melalui pelbagai cara termasuk love scam dan Macau scam atau mengendalikan online casino," katanya.

Mohamad berkata, setakat 10 Jun lalu, Kementerian Luar dengan kerjasama PDRM dan pihak berkuasa negara terbabit berjaya menyelamatkan 659 rakyat Malaysia yang terbabit dengan sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.

"Seramai 187 lagi sedang dijejaki menjadikan jumlah rakyat Malaysia yang terbabit adalah 846 orang dan jumlah ini berdasarkan laporan yang diterima daripada waris, ahli keluarga, rakan, PDRM serta individu itu sendiri," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 8:01 AM