ANGGOTA Bomba melakukan pemantauan di kawasan banjir di daerah Baling berikutan hujan lebat sejak petang tadi. FOTO ihsan BOMBA
ANGGOTA Bomba melakukan pemantauan di kawasan banjir di daerah Baling berikutan hujan lebat sejak petang tadi. FOTO ihsan BOMBA
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Pihak berkuasa kerajaan negeri dan Persekutuan perlu segera mengambil tindakan bagi mengelak kejadian banjir kilat di Kampung Iboi dan kawasan penduduk berdekatan Sungai Kupang di Baling berulang.

Pertubuhan Kebajikan Amal Iboi (PKAI) sehubungan itu merayu supaya tindakan yang jelas diambil untuk mengurangkan risiko bencana kerana setakat semalam sudah tiga kali banjir kilat berlaku di kawasan terbabit.

Dalam satu kenyataan hari ini, PKAI berkata hanya pasir yang bertimbun di atas tanah sahaja dijarah keluar tetapi pasir yang mendap di dasar masih dibiarkan dan tinggalan puing-puing masih dibersihkan dan kembali masuk ke rumah penduduk.

"Semalam hanya selepas 30 minit hujan lebat, kepala air mula turun dengan lajunya dan jambatan Bailey di Kampung Iboi tenggelam.

"Aliran air yang kuat berserta puing-puing mengakibatkan tiang elektrik dan jambatan menjadi senget menanti tumbang dan dihanyutkan air. Trauma dan perit penduduk kampung Iboi dan sepanjang Sungai Kupang yang baru sahaja surut sedikit kembali semula ke paras tertinggi.

"Segala bantuan dan peralatan yang baru diterima kembali musnah. Pagar tanaman musnah, binatang ternakan mati lemas, peralatan rosak ditenggelami air. Persoalannya, sehingga bila kami perlu menanggung seksa dan derita begini?" katanya.

Semalam, hujan lebat kira-kira jam 5 petang menyebabkan kenaikan paras Sungai Kupang sehingga menenggelamkan jambatan Bailey di Kampung Iboi,

Air sungai melimpah dengan cepat dipercayai akibat tebing pasir pecah dihanyutkan air deras.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata cadangan tindakan susulan bagi jangka masa pendek hasil Laporan Kajian Bencana Geologi Banjir Puing 2022 pada muka surat 55 dan 56 perlulah disegerakan tindakannya.

Katanya usahlah hanya memaksa penduduk dan mangsa banjir untuk menerima hasil kajian berkenaan tetapi pihak kerajaan tidak melaksanakan tindakan cadangan yang diutarakan oleh pakar-pakar yang terbabit.

"Segala tandak dan kolam takungan air di puncak gunung perlu segera dimusnahkan. Segerakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat punca bencana ini dan membawa yang bersalah ke muka pengadilan.

"Berapakah bacaan tolok hujan automatik di puncak Gunung Inas? Sekuat manakah siren amaran banjir berbunyi? Sudah berapa kali dialog dan penerangan mengenai banjir puing ini dijalankan kepada penduduk kampung? Sudah berapa dalam mendapan sungai Kupang ini dikorek dan dibuang? Semuanya hanya tinggal persoalan dan cadangan.

"Bencana besar baru-baru ini hanya membabitkan satu aliran sahaja ke sungai Kupang. Masih terdapat dua atau tiga aliran lagi yang belum memuntahkan puing-puing dan runtuhan tanah akibat aktiviti pembalakan dan perladangan Durian Musang King ini. Hidup dan nyawa kami menjadi taruhan setiap kali berlakunya banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 10:41 AM