Suhaimi (kanan), ketika sidang media Program Big Band Project di Studio Rakaman Rentak 60, Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Suhaimi (kanan), ketika sidang media Program Big Band Project di Studio Rakaman Rentak 60, Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Saya fikir, bukan hak saya untuk menjawab soalan itu," kata Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman apabila ditanya mengenai kontrak perkhidmatannya yang didakwa bakal tamat.

Difahamkan, spekulasi berkenaan didakwa mula timbul selepas Suhaimi dilihat membalas ciapan seorang pengguna di aplikasi X yang menulis, 'kalau Ustaz Don direhatkan, Ketua Pengarah Penyiaran juga perlu direhatkan', baru-baru ini.

Bagaimanapun, memilih tidak mengulas soal kontrak perkhidmatannya, Suhaimi yang berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan dan penyiaran tenang menepis segala asakan media berhubung spekulasi mengaitkannya itu.

"Cubaan yang bagus," katanya tegas dan ketawa untuk tidak menjawab sekali gus membiarkan kemusykilan yang timbul di media sosial itu menjadi teka-teki lagi.

Menurut Suhaimi yang tidak menafikan atau mengiyakannya (tamat kontrak Ketua Pengarah Penyiaran tamat), beliau menyifatkan jika masih boleh memberikan kebaikan di dalam tanggungjawab pekerjaan digalas, teruskan dan begitu sebaliknya.

"Saya rasa begini, jika kita ada sesuatu yang baik untuk dikongsi dan kita bawa, maka teruskan. Namun, sekiranya kita tiada benda yang bagus untuk dikongsi, maka kita berehatlah, itu saja.

"Cuma, melihat pada ciapan di aplikasi X itu yang bermacam-macam, saya tidak mahu terlalu serius mengenai sesuatu perkara. Jadi, ada masanya kita berseloroh dan ada masanya kita boleh bergurau senda.

"Kadang-kadang di X ini, ada yang mengeluarkan kata-kata yang dahsyat kerana budaya di X ini pun memang dahsyat juga. Jadi, kita kena pandai main dengan perkara itu yang ada kalanya kita kena ringankan sedikit apa yang dilihat sebagai berat," katanya ditemui di Angkasapuri Kota Media, di sini, semalam.

Suhaimi berkata, selaku 'orang lama' di dalam industri media tempatan yang mana suatu ketika dulu beliau juga pernah bermula sebagai wartawan, amat memahami perasaan siapa yang boleh bekerja sampai usia tua?

Suhaimi dilantik sebagai Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia pada 20 Januari 2023.

Sebelum itu, beliau pernah menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarang Astro Awani pada 2017, kemudian sebagai Pengerusi Bernama pada 2020. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 9:14 AM