Safuri Kamarudin


Baling: Banjir kilat yang melanda sembilan kampung di Mukim Kupang, petang semalam, menjejaskan 75 keluarga membabitkan 300 penduduk.

Penghulu Mukim Kupang, Badrul Hisham Che Li berkata, kampung terbabit ialah Kampung Iboi, Lata Chelak, Padang Empang, Masjid Iboi, Bendang Padang, Bendang Bechah, Jerai, Hangus dan Bukit Hijau.

Beliau berkata, satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 19 keluarga daripada 58 mangsa yang terjejas teruk.

Manakala penduduk yang lain berpindah ke rumah jiran dan air hanya naik ke paras 0.5 meter saja sebelum surut sejam kemudian.

Katanya, susulan itu juga Jambatan Bailey yang dibina terpaksa ditutup untuk sementara kepada lalu-lintas.

"Hujan lebat berterusan selama tiga jam dan berlarutan sehingga malam menyebabkan jambatan terpaksa ditutup pada jam 10 malam tadi.

"Arus deras Sungai Kupang sehingga melepasi paras titi itu menyebabkan ia ditutup kepada lalu-lintas," katanya.

Badrul Hisham berkata, keadaan cuaca tidak menentu menyebabkan semua mangsa yang berpindah ke PPS tidak dibenarkan pulang ke rumah.

JAMBATAN Bailey ditutup kepada semua kenderaan akibat hujan lebat malam tadi. FOTO Safuri Kamarudin
JAMBATAN Bailey ditutup kepada semua kenderaan akibat hujan lebat malam tadi. FOTO Safuri Kamarudin

"Semua mangsa perlu akur demi keselamatan mereka bagi mengelak kejadian kali kedua berulang.

"Rata-rata rumah mangsa hanya 30 meter saja dari tebing sungai, apabila hujan lebat berterusan lebih dua jam air cepat melimpah," katanya.

Sementara itu, mangsa, Azizah Ahmad, 65, dari Kampung Padang Empang, berkata, dia berpindah jam 8 malam tadi selepas air naik hingga paras tingkap rumah.

Dia berkata, mereka enam beranak keluar ke dewan yang disediakan bagi mengelak kejadian buruk.

"Cukuplah tragedi pertama yang amat mengerikan dan tidak mahu kejadian kedua berulang.

"Saya mengambil keputusan berpindah segera dan mengambil segala dokumen penting ke tempat selamat," katanya ketika ditemui di PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, Kupang hari ini.

Azizah berkata, dia berharap kerajaan dapat membina penempatan baru seperti rumah melalui Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) untuk penduduk yang terjejas banjir.

"Kami rasa tidak selamat lagi untuk tinggal di kediaman sedia ada.

"Setiap kali hujan lebat hati semakin berdebar kerana trauma dengan kejadian yang berlaku," katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Che Putih Ahmad, 54, berkata, air melimpah dengan cepat selepas hujan lebat lebih tiga jam petang semalam.

"Kami berpindah segera kerana bimbang terperangkap kerana waktu malam. Langkah selamat ialah berpindah dan tidak mengambil risiko tinggal di rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 11:54 AM