LOKMAN (kanan) menahan seorang pemandu bas persiaran yang tidak memiliki lesen memandu ketika Op Tahun Baharu Cina (TBC) 2024 di Plaza Tol Kemuning arah Kuala Lumpur/Shah Alam hari ini. FOTO Bernama.
LOKMAN (kanan) menahan seorang pemandu bas persiaran yang tidak memiliki lesen memandu ketika Op Tahun Baharu Cina (TBC) 2024 di Plaza Tol Kemuning arah Kuala Lumpur/Shah Alam hari ini. FOTO Bernama.
Nurul Hidayah Bahaudin


Shah Alam: Perjalanan sebuah bas yang membawa pelancong tergendala kira-kira sejam selepas pemandu kenderaan itu didapati tidak memiliki lesen memandu.

Terdahulu, bas berkenaan yang membawa 11 penumpang ditahan untuk pemeriksaan dalam Op Tahun Baru Cina (TBC) 2024 di Plaza Tol Kemuning, di sini, kira-kira 9 malam tadi.

Lelaki tempatan berusia 33 tahun itu berkata, dia memandu bas berkenaan dari Bandar Puteri, Klang untuk menghantar 11 pelancong terbabit ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Saya tahu salah bawa (pandu bas) tanpa lesen tetapi saya hanya bantu abang (pemilik syarikat bas) untuk jadi pemandu tanpa sebarang upah atas sebab kecemasan.

"Sebelum ini, saya pernah beberapa kali bawa bas atas sebab sama (kecemasan)," katanya ketika ditemui di lokasi operasi, di sini, malam tadi.

Bas terbabit kemudian dibenarkan untuk meneruskan perjalanan selepas pemandu gantian tiba di lokasi berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata, pihaknya memeriksa 1,492 kenderaan diperiksa dalam dua operasi yang dijalankan di Plaza Tol Kemuning dan Plaza Tol PJS, di sini, semalam.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 284 kenderaan diambil tindakan dengan 636 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Ini termasuk kesalahan membabitkan lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada insurans dan ubah suai nombor pendaftaran kenderaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengetuai Op TBC 2024 di Plaza Tol Kemuning yang turut dihadiri Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan dan Timbalan Pengarah JPJ Selangor Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 12:23 AM