AHMAD Kamarunzaman Mehat melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan dalam Op Khas HID di Jalan Genting Klang dan Plaza Tol Lebuhraya MEX Salak Selatan, Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO Ihsan JPJ
AHMAD Kamarunzaman Mehat melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan dalam Op Khas HID di Jalan Genting Klang dan Plaza Tol Lebuhraya MEX Salak Selatan, Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO Ihsan JPJ
Nurul Hidayah Bahaudin


SEBANYAK 362 notis dikeluarkan dengan 59 notis membabitkan kesalahan lampu High Intensity Discharge (HID) dalam Operasi Khas HID di dua lokasi sekitar Kuala Lumpur, malam tadi.

Operasi bermula 8 malam hingga 12 tengah malam tadi dilakukan 40 pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Jalan Genting Kelang dan Plaza Tol Lebuhraya Maju Expressway (MEX) Salak Selatan.

Ketua Seksyen Operasi JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, sebanyak 684 kenderaan diperiksa dalam operasi itu.

“Daripada semua kenderaan yang diperiksa itu, sebanyak 362 notis dikeluarkan dengan 59 notis membabitkan kesalahan lampu HID.

“Objektif penguatkuasaan operasi ini adalah untuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan larangan penggunaan lampu HID dan memastikan supaya pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan standard piawaian berkaitan penggunaan lampu HID yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Ahmad Kamarunzaman berkata, penggunaan lampu HID yang tidak mematuhi speksifikasi akan dikenakan tindakan di bawah Kaedah 94 Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembuatan Dan Penggunaan).

“Kesan penggunaan lampu HID yang tidak dibenarkan akan membahayakan pengguna jalan raya.

“Malah, ia juga menyebabkan pengguna jalan raya lain menghadapi kesukaran untuk melihat akibat silau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 3:35 PM