DATUK Seri Anwar Ibrahim. FOTO Eizairi Shamsudin
DATUK Seri Anwar Ibrahim. FOTO Eizairi Shamsudin
Nurul Husna Mahmud dan Nor 'Asyikin Mat Hayin


PERSATUAN Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia (PAYAAM) mempunyai perancangan menubuhkan semula Yayasan Anda Akademik (YAA) bagi membantu pelajar tercicir dalam pelajaran.

Pengasas YAA Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kepentingan menghidupkan kembali akademik itu masih relevan memandangkan ramai memerlukan peluang kedua untuk berjaya dalam akademik dan kehidupan.

"Perancangan ini akan dibincangkan dengan lebih teliti bersama alumni.

"Pendidikan adalah asas kemajuan negara dan masih ada yang memerlukan peluang belajar seperti di YAA," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sepetang Alumni YAA di Dewan Rafflesia Dsaji di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengerusi Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik (PAYAAM) Datuk Dr Suhaimi Ibrahim.

DATUK Seri Anwar Ibrahim hadir bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika sidang media di Majlis Alumni Yayasan Anda Akademik yang diadakan di D'Saji Taman tasik Titiwangsa. FOTO Eizairi Shamsudin
DATUK Seri Anwar Ibrahim hadir bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika sidang media di Majlis Alumni Yayasan Anda Akademik yang diadakan di D'Saji Taman tasik Titiwangsa. FOTO Eizairi Shamsudin

Majlis yang berlangsung selama tiga jam itu dihadiri lebih 500 alumni YAA dari seluruh negara.

Anwar berkata, antara pengalaman tidak dapat dilupakan pada peringkat awal membuka YAA ialah bekerja keras membangunkan yayasan berkenaan sehingga menjadi institusi pendidikan terkenal satu masa dahulu.

"Kami guru di YAA bekerja siang dan malam meskipun bayaran gaji rendah demi membela nasib anak bangsa dalam pendidikan.

"Segala kepayahan ini hilang apabila melihat ramai pelajar berjaya melanjutkan pengajian ke universiti," katanya.

Sementara itu Suhaimi berkata, beliau sedang menyusun pelbagai program pendidikan sebagai sebahagian daripada perancangan menubuhkan kembali YAA.

"Kami mahu lebih ramai pelajar tercicir menikmati peluang kedua pendidikan seperti yang diperoleh alumni.

"Jadi alumni akan turun ke sekolah untuk memberikan bimbingan kepada pelajar selain menjaga kebajikan ahlinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 7:45 PM