Anwar Ibrahim (tengah) beramah mesra bersama barisan para pelakon selepas pementasan Teater "Cikgu Anda" di sebuah hotel hari ini. FOTO BERNAMA
Anwar Ibrahim (tengah) beramah mesra bersama barisan para pelakon selepas pementasan Teater "Cikgu Anda" di sebuah hotel hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh masyarakat supaya memberi tumpuan untuk meningkatkan mutu pendidikan dengan mengutamakan kekuatan nilai dan akhlak yang baik.

Beliau berkata, dengan berpandukan nilai serta akhlak, negara dapat melahirkan insan yang berilmu dan akademis kerana mengamalkan prinsip agama.

"Tidak kurang pentingnya maksud dan matlamat pendidikan itu yang ditekankan Menteri Pendidikan sekarang adalah supaya kembali kepada agama.

"Yang kita mahu tingkatkan itu adalah manusia dengan keyakinan dengan nilai dan akhlak itu kerana percubaan di banyak negara sangat berhasil memupukkan nilai dalam pendidikan," katanya ketika berucap selepas menonton pementasan teater 'Cikgu Anda' di sini, malam tadi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan juga mahu penguasaan bahasa kebangsaan dimartabatkan sebagai bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

"Kita juga perlu berusaha untuk meningkatkan disiplin ilmu supaya dapat berlumba dan bersaing (seiring dengan negara lain)," katanya sambil menambah tumpuan itu harus menjadi satu gerakan dan bukannya tertumpu kepada seorang tokoh sahaja.

Terdahulu, beliau menyaksikan pementasan teater berjudul 'Cikgu Anda' yang diinspirasikan berkaitan sumbangan beliau dalam bidang pendidikan.

'Cikgu Anda' diadaptasikan ke pentas untuk mengangkat nama Yayasan Anda Akademik (YAA) iaitu institusi pendidikan swasta yang diasaskan sekumpulan siswazah universiti tempatan dan dipelopori Anwar pada Mac 1971.

Ia juga bertujuan menceritakan perjuangan yayasan berkenaan yang membantu keciciran pelajar terutamanya pelajar luar bandar serta kurang berkemampuan untuk mendapat pendidikan yang lebih tinggi.

Naskhah teater itu terbitan Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia (Payaam) dengan kerjasama Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (Pemekar).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 8:00 AM