Ab Rauf Yusoh melakukan cabutan nama bertuah edisi pertama sempena TMM2024 di Banda Hilir, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Ab Rauf Yusoh melakukan cabutan nama bertuah edisi pertama sempena TMM2024 di Banda Hilir, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Oleh Amir Mamat


Melaka: Kerajaan negeri melancarkan program baharu pelancongan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dengan memperkenalkan aktiviti 'Bila Larut Malam' atau 'Melaka Nightlife'.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pakej itu membabitkan beberapa lokasi pelancongan iaitu Menara Taming Sari, Melaka River Cruise, Zoo Melaka serta semua muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).

Beliau berkata, pengunjung hanya perlu membayar RM10 seorang untuk menikmati kemudahan pelancongan terbabit.

"Tawaran hebat ini hanya akan diadakan pada 1 hari bulan setiap bulan dan pakej berkenaan akan bermula jam 11 malam hingga 3 pagi pada hari berkenaan.

"Pakej Melaka Nightlife ini juga termasuk dengan pembelian cenderamata khas TMM2024 serendah RM10 menjadikan jumlah keseluruhan hanya RM20, sekali gus layak untuk menyertai cabutan bertuah dan berpeluang memenangi hadiah istimewa termasuk kereta.

"Penyediaan pakej baharu itu susulan kejayaan pelaksanaan inisiatif kerajaan negeri pada 20 Februari lalu menerusi kemasukan percuma ke 11 lokasi pelancongan di negeri ini," katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan Kempen Beli dan Cenderamata dan Menang, Aplikasi Jom Melaka Cari Makan dan cabutan bertuah sesi pertama TMM2024 di Banda Hilir, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Ab Rauf turut melakukan tiga cabutan bertuah untuk sesi pertama membabitkan tiga pemenang hadiah berupa kereta pelbagai jenama.

Bagi cabutan untuk Januari, hadiah kereta Proton Persona dimenangi Lee See Keong dari Kuala Lumpur, diikuti pemenang bagi Februari, Kamarul Aini Harun dari Kuala Lumpur (Perodua Aruz) manakala penerima bagi Mac pula adalah Rohayu Rahmat dari Johor (Proton X50).

Ab Rauf turut melancarkan aplikasi Jom Melaka Cari Makan sebagai inisiatif baharu bagi memudahkan orang ramai mencari lokasi terbaik untuk menikmati makanan di negeri itu.

Katanya, menerusi aplikasi itu, orang ramai akan menikmati diskaun sehingga 50 peratus di lebih 200 restoran dan kafe yang berdaftar di seluruh negeri bermula 1 Mei sehingga 2 Jun ini.

"Aplikasi ini turut menawarkan Anugerah Best Melaka Food Award dan Best Melaka Popular Award yang akan dipertandingkan di kalangan restoran dan kafe yang menyertai aplikasi ini.

"Saya yakin inisiatif ini secara tidak langsung memperluas usaha mempromosi restoran dan kafe di Melaka di bawah sub-sektor Pelancongan Makan-Makan sekali gus meningkatkan pendapatan peniaga tempatan dan menggamit lebih ramai pelancong," katanya.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 3:31 PM