AB Rauf Yusoh (berdiri, tengah) bersama Paramedik Komuniti yang dilantik sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) pada Majlis Penyerahan Vest dan Buku Pasport Sukarelawan TMM 2024 dan Inisiatif Paramedik Komuniti 2024. FOTO BERNAMA
AB Rauf Yusoh (berdiri, tengah) bersama Paramedik Komuniti yang dilantik sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) pada Majlis Penyerahan Vest dan Buku Pasport Sukarelawan TMM 2024 dan Inisiatif Paramedik Komuniti 2024. FOTO BERNAMA
Amir Mamat

Melaka: Pelbagai acara pentas termasuk tarian kebudayaan dan persembahan tradisional bakal mewarnai malam pelancaran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), malam esok.

Bakal disulami dengan persembahan enam artis popular tanah air, malam pelancaran yang diadakan serentak dengan sambutan Tahun Baharu 2024 itu turut menampilkan beberapa anak seni kelahiran Melaka menerusi persembahan pentas mereka.

Enam artis berkenaan adalah penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, pasangan beradik Ziana dan Anuar Zain, Zamani, Siti Nordiana dan Ernie Zakri selain penyanyi tempatan seperti Ayu Nyonya Tan, P Radhi, Kenny Lee, Nimalaan dan Datuk Bahrim.

Pada malam itu, lagu rasmi TMM2024 berjudul Senandung Anak Melaka nyanyian Yaser Fikri juga akan diperkenalkan secara rasmi.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata setakat ini beliau berpuas hati dengan persiapan persembahan malam pelancaran acara berkenaan, namun beberapa aspek khususnya dari segi teknikal perlu diperbaiki.

"Malam ambang TMM2024 dan Tahun Baharu 2024 malam esok, kita bakal saksikan persembahan hebat daripada semua artis jemputan sambil dihiasi dengan pengcahayaan yang sangat menarik.

"Namun apa yang penting, pengunjung yang hadir berpeluang untuk membawa pulang sebuah kereta jenis PROTON X70 menerusi cabutan bertuah yang bakal dibuat selepas pelancaran acara gilang-gemilang berkenaan.

"Hadiah lain yang disediakan malam esok adalah motosikal selain barangan eletrik seperti peti sejuk, mesin basuh, televisyen LED 65 dan 60 inci serta penghawa dingin," katanya selepas meninjau persiapan akhir persembahan pentas sempena pelancaran itu, di Pengkalan Rama, di sini malam tadi.

Pelancaran TMM2024 dan Tahun Baharu 2024 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Sebelum itu, Ab Rauf melakukan penyerahan jaket dan buku pasport Sukarelawan TMM2024 dan Inisiatif Paramedik Komuniti 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2023 @ 1:25 PM