HELAIAN al-Quran yang ditemui di tepi Jalan Besar Palong. FOTO ihsan polis
HELAIAN al-Quran yang ditemui di tepi Jalan Besar Palong. FOTO ihsan polis
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Lelaki berusia 37 tahun ditahan selepas didapati mencampak helaian al-Quran di tepi Jalan Besar Felda Palong, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, polis menerima tiga laporan yang dibuat orang awam.

Katanya, pengadu yang membuat aduan melihat seorang lelaki menunggang motosikal melempar helaian dan cebisan al-Quran yang sudah dikoyakkan di tepi jalan itu.

"Polis juga menerima aduan yang menjumpai helaian dan senaskah al-Quran di jalan yang sama.

"Susulan itu polis menangkap seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hoo berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan kejadian itu selain ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, suspek juga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

"Polis membuat permohonan reman ke atas suspek hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 298A/427 Kanun Keseksaan.

"Polis juga mengingatkan semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan video serta gambar kejadian di media sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 11:13 AM