SENJATA yang dirampas polis dalam serbuan disebuah rumah di Taman Satelite tengah malam tadi. FOTO ihsan Polis
SENJATA yang dirampas polis dalam serbuan disebuah rumah di Taman Satelite tengah malam tadi. FOTO ihsan Polis
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Enam pisau, besi buku lima dan pistol antara senjata ditemui polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Satelite, Bahau, 12.30 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, serbuan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD ) Jempol itu turut menahan seorang lelaki berusia 51 tahun.

Katanya, pemeriksaan polis di dalam bilik tidur suspek menemukan dua kotak mengandungi pistol, buku lima dan enam pisau pelbagai saiz dan bentuk.

"Soal siasat mendapati suspek membuat sendiri pisau itu di rumah dan ia hanya untuk kegunaan sendiri.

"Pistol dibeli suspek dari sebuah laman web China dengan harga RM100. Pistol menggunakan peluru bebola besi dan gas," katanya, hari ini.

Chang Hook berkata, suspek mendakwa pistol berkenaan sudah rosak.

Katanya, suspek turut mendakwa senjata disimpan hanya sebagai hobi dan untuk simpanan sendiri.

"Suspek turut mempunyai lapan rekod jenayah dan narkotik, manakala ujian air kencing mendapati dia positif methamphetamine.

"Polis memohon perintah tahanan reman suspek hari ini dan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 11:10 AM