BEG, alat penimbang dan dadah dirampas polis dalam serbuan di Felda Palong Empat. FOTO ABNOR HAMIZAM
BEG, alat penimbang dan dadah dirampas polis dalam serbuan di Felda Palong Empat. FOTO ABNOR HAMIZAM
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Tokan dadah yang mempunyai lapan rekod jenayah lampau didapati masih tidak insaf apabila mengulangi kesalahan itu selepas ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, penganggur berusia 31 tahun itu ditangkap di sebuah rumah di Felda Palong Empat, di sini, pada jam 1 tengah hari.

Katanya, suspek ketika itu datang ke rumah berkenaan bagi menghantar makanan yang dipesan rakannya.

"Polis yang menjalankan intipan melihat suspek duduk di atas sebuah motosikal dan menyandang satu beg berwarna coklat.

"Suspek kemudian dihampiri dan dia terkejut melihat kehadiran polis lalu cuba melarikan namun tidak berjaya.

"Pemeriksaan polis di dalam beg sandang suspek menemui lima peket plastik pelbagai saiz berisi dadah jenis heroin seberat 80.15 gram dan tiga peket pelbagai saiz dadah jenis syabu seberat 5.09 gram," katanya.

Hoo berkata, polis turut menemui satu alat penimbang digital di dalam beg berkenaan manakala ujian air kencing suspek positif dadah jenis morfin.

Katanya, dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM3,314. 25.

"Suspek direman selama tujuh hari sehingga 6 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 2:54 PM