Keseluruhan 680kg daun ketum yang dirampas polis. FOTO IHSAN PDRM
Keseluruhan 680kg daun ketum yang dirampas polis. FOTO IHSAN PDRM
Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Cubaan tiga lelaki mahu menjual 680 kilogram (kg) daun ketum di sekitar daerah ini tidak kesampaian apabila kesemua mereka dicekup polis dalam dua serbuan berasingan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, dalam serbuan pertama pada jam 8 malam di tepi jalan besar di Taman Desa Penarikan, polis menahan dua suspek berusia 32 dan 36 tahun dan merampas 520kg daun ketum.

Katanya, daun ketum itu diisi dalam sebuah lori dan dibawa dari sebuah negeri di utara dengan lori dipandu suspek dan seorang lagi rakannya.

"Daun ketum berkenaan dipercayai untuk dijual di sekitar daerah ini dan nilai rampasan berjumlah RM5,200.

"Kedua-dua suspek negatif ujian air kencing namun pemandu lori mempunyai rekod lampau berkaitan dadah," katanya, hari ini.

Chang Hook berkata, pada jam 8.15 malam, polis menangkap seorang lagi suspek berusia 27 tahun di hadapan sebuah rumah di Taman Desa Penarikan dan merampas 160 kg daun ketum yang diisi dalam plastik hitam dan beg.

Katanya, siasatan awal mendapati daun ketum berkenaan diperoleh dari sekitar daerah ini.

"Nilai rampasan berjumlah RM1,600 dan suspek terbabit dengan aktiviti pengedaran daun ketum sejak Julai lalu.

"Ujian air kencing suspek negatif dan suspek tidak mempunyai rekod lampau berkaitan dadah," katanya.

Chang Hook berkata, kenderaan digunakan kesemua suspek turut dirampas dan polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 3:09 PM