94 motosikal 'dipukat' dalam Ops Samseng Jalanan JSPT Kuala Lumpur di Dataran Merdeka awal pagi tadi.
94 motosikal 'dipukat' dalam Ops Samseng Jalanan JSPT Kuala Lumpur di Dataran Merdeka awal pagi tadi.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Berani menyertai lumba haram beramai-ramai sekitar ibu kota tanpa memiliki lesen menunggang motosikal sah.

Kegiatan liar kumpulan belia tempatan itu diambil tindakan apabila 94 motosikal disita hasil operasi Ops Samseng Jalanan di Dataran Merdeka, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi dijalankan bermula jam 3 pagi hingga jam 6 pagi.

"Sebanyak 94 motosikal disita dalam operasi itu dan seorang remaja 19 tahun ditahan kerana didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Keseluruhannya sebanyak 180 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi yang dianggotai tujuh pegawai kanan dan 50 anggota polis trafik itu," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, antara saman dikeluarkan membabitkan kesalahan tiada lesen memandu sebanyak 59 kesalahan, kesalahan nombor pendaftaran (44), tidak pamer pelekat L atau P (23), tiada cermin sisi (18) dan cukai jalan tamat tempoh (12).

Katanya, lain-lain kesalahan membabitkan ubahsuai ekzos sebanyak 10, ubahsuai struktur (tujuh), dan satu kesalahan tidak memakai tali pinggang, tidak pakai topi keledar, guna telefon bimbit, dan melanggar lampu isyarat merah.

Sarifudin berkata, operasi itu dijalankan bagi memastikan undang-undang trafik dipatuhi oleh setiap pengguna jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 4:38 PM