OPERASI Hormat Undang-Undang Jalan Raya di ibu negara bermula 4 Jun lalu hingga semalam yang dijalankan  Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur. FOTO Ihsan PDRM.
OPERASI Hormat Undang-Undang Jalan Raya di ibu negara bermula 4 Jun lalu hingga semalam yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur. FOTO Ihsan PDRM.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Sebanyak 33,362 saman dikeluarkan sepanjang 11 hari pelaksanaan Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya (OP HUU)di ibu negara bermula 4 Jun lalu hingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, halangan lalu lintas atau parkir adalah kesalahan tertinggi direkodkan dalam tempoh terbabit.

Katanya, sebanyak 25,405 saman membabitkan halangan lalu lintas, berhenti di laluan pejalan kaki (1,901); tiada lesen memandu (939), kesalahan nombor plat (431), dan cukai jalan tamat tempoh (585).

"Selain itu tidak ikat topi keledar (88), tiada nombor pendaftaran (192), tiada cermin sisi (392), menggunakan telefon (186), tidak tampal P (220), lesen tamat tempoh (140), lampu brek tidak fungsi (23), ubahsuai kenderaan (51) dan tiada perlindungan insurans (47).

"Sebanyak 211 operasi dijalankan di beberapa lokasi sekitar ibu negara, antaranya OP Telefon Bimbit, OP Motosikal, OP Had Laju/LSD, OP Perdagangan, OP Halangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sarifudin berkata, 374 pegawai kanan dan 4,236 anggota JSPT Kuala Lumpur ditugaskan sepanjang tempoh terbabit, selain dibantu beberapa anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"JSPT Kuala Lumpur juga melakukan sebanyak 66 tangkapan dan turut menyita lima motosikal dan sebuah lori," katanya.

Pada 31 Mei lalu, media melaporkan Polis Kuala Lumpur akan melaksanakan operasi trafik secara besar-besaran menerusi OP HUU di seluruh ibu kota, bermula 4 Jun sehingga 15 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 12:04 PM