ANTARA kenderaan yang dikesan melanggar undang-undang trafik pada Op HUU di Kuala Lumpur. FOTO Ihsan JSPT KL
ANTARA kenderaan yang dikesan melanggar undang-undang trafik pada Op HUU di Kuala Lumpur. FOTO Ihsan JSPT KL
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Sebanyak 9,427 saman dikeluarkan dalam tempoh tiga hari pelaksanaan Ops Hormat Undang-Undang Jalan Raya (HUU) di ibu negara bermula 4 Jun hingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, jumlah saman tertinggi membabitkan kesalahan halangan lalu lintas atau parkir.

"Kesalahan tertinggi halangan lalu lintas sebanyak 7,123 saman, berhenti petak kuning (20), berhenti di laluan pejalan kaki (699), tiada lesen (236), kesalahan nombor plet (101), dan cukai jalan tamat tempoh (155),

Selain itu kesalahan tiada insuran (tiga), tidak ikat topi keledar (39), tiada nombor pendaftaran (16), tiada cermin sisi (81), menggunakan telefon (63), tidak tampal P (42), lesen tamat tempoh (31), lampu brek tidak fungsi (satu), ubahsuai kenderaan (lapan)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi itu dijalankan dengan kekuatan seramai 112 pegawai kanan dan 1,401 anggota JSPT Kuala Lumpur selain bantuan daripada sejumlah anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, sebanyak 63 operasi antaranya OP Telefon Bimbit, OP Motosikal, OP Had Laju/LSD, OP Perdagangan, OP Halangan dijalankan di beberapa lokasi sekitar ibu negara.

"JSPT Kuala Lumpur juga melakukan sebanyak 24 tangkapan dan turut menyita sebuah motosikal dan sebuah lori," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2024 @ 2:22 PM