SEORANG penunggang tanpa lesen yang ditahan selepas gagal melarikan diri dari sekatan jalan raya. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
SEORANG penunggang tanpa lesen yang ditahan selepas gagal melarikan diri dari sekatan jalan raya. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Sanggup menggadai nyawa menunggang secara melawan arus hanya kerana tidak memiliki lesen menunggang motosikal yang sah.

Itu tindakan berani mati sekumpulan samseng jalanan semata-mata mahu mengelak sekatan jalan raya Ops Motosikal sempena Ops Hormat Undang-Undang Jalan Raya (HUU) di Jalan Ipoh, di sini tengah malam tadi.

Salah seorang dari mereka hampir menempah maut apabila nyaris dirempuh sebuah kereta ketika cuba membuat pusingan U di tengah-tengah jalan yang sibuk untuk melarikan diri dari pihak polis namun gagal.

Apabila disoal berhubung tindakannya itu, lelaki tempatan berusia 22 tahun itu mengaku panik kerana tidak mempunyai lesen menunggang motosikal yang sah.

"Saya dari rumah mak di Gombak mahu pulang ke rumah saya di Cheras tapi bila nampak roadblock (sekatan jalan raya) saya panik sebab itu cuba lari.

"Ini kali pertama saya kena tahan sebab itu saya panik," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, sebanyak 144 saman dikeluarkan membabitkan kesalahan tiada lesen memandu.

Katanya, sebanyak 746 kenderaan dan 845 individu diperiksa menerusi lima sekatan jalan raya di Jalan Bangsar, Jalan Kuching, dua di Jalan Ipoh, dan Jalan Tun Razak.

"616 saman dikeluarkan membabitkan kesalahan tertinggi iaitu tiada lesen memandu sebanyak 144 saman, kesalahan nombor pendaftaran 134, tiada cermin sisi (65), tak pamer 'L' (61) dan cukai jalan tamat tempoh (50).

"61 kenderaan disita atas pelbagai kesalahan dan empat individu berusia 23 hingga 48 tahun ditahan kerana positif ujian saringan awal dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, seramai 14 pegawai kanan dan 121 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pegawai dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyertai operasi bermula 11 malam hingga 2 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 11:59 AM