FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Halangan lalu lintas merekodkan kesalahan tertinggi iaitu 15,705 saman dikeluarkan dalam Operasi Hormat Undang-undang Jalan Raya (Op HUU) Polis Kuala Lumpur sepanjang tempoh tujuh hari sehingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, sebanyak 21,169 saman trafik sudah dikeluarkan dalam tempoh sama.

"Kesalahan tertinggi halangan lalu-lintas sebanyak 15,705 saman, berhenti di laluan pejalan kaki (1,102), tiada lesen (678), cukai jalan tamat tempoh (450), nombor kenderaan tidak mengikut spesifikasi (336) dan berhenti petak kuning (29).

"Selain itu kesalahan tiada cermin sisi (248), tiada nombor pendaftaran (156),tidak menampal pelekat P (167), menggunakan telefon bimbit (111), lesen tamat tempoh (107), tidak mengikat kemas topi keledar (64) dan beberapa kesalahan lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sarifudin berkata, sepanjang tempoh sama, pihaknya turut melaksanakan 137 operasi trafik.

"Seramai 38 individu ditahan atas pelbagai kesalahan sepanjang pelaksanaan Ops HUU manakala lima motosikal dan sebuah lori disita," katanya.

Menurutnya, seramai 228 pegawai kanan dan 2,642 anggota JSPT Kuala Lumpur terbabit dalam operasi itu dibantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pada 31 Mei lalu, media melaporkan Polis Kuala Lumpur akan terus melaksanakan Op HUU sehingga 15 Jun ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, operasi itu akan menggunakan konsep sama iaitu memberi penekanan utama membabitkan kesalahan halangan lalu lintas, garisan putih, nombor pendaftaran, motosikal, didik, parkir haram, lampu merah dan telefon bimbit.

Sebelum ini, Op HUU dijalankan dua fasa dengan Fasa 1 dilaksanakan pada 3 hingga 31 Julai 2023 manakala Fasa 2 pada 15 sehingga 29 September 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 11:29 AM