Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Tukang masak, penganggur dan pekerja kilang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan menggodam akaun bank sebuah syarikat menjual peralatan dapur dan mengalihkan wang berjumlah RM727,000 milik syarikat berkenaan, Ogos lalu.

Tertuduh, M Sasilah, 29, S Karthik, 27, dan N Mageswaran, 29, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R Salini.

Sasilah, Karthik dan Mageswaran masing-masing dituduh dengan curang mengalih harta milik sebuah syarikat peralatan dapur berjumlah RM150,000, RM270,000 dan RM307,000 yang dimasukkan ke akaun bank setiap tertuduh secara berasingan pada 4 Ogos 2020.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

SASILAH (kanan), Karthik (tengah) dan Mageswaran  mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menggodam akaun bank sebuah syarikat dan mengalihkan wang RM727,000. FOTO Zain Ahmed
SASILAH (kanan), Karthik (tengah) dan Mageswaran mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menggodam akaun bank sebuah syarikat dan mengalihkan wang RM727,000. FOTO Zain Ahmed

Terdahulu, Choon Yew memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh sebagai pengajaran selain kerugian ditanggung syarikat peralatan dapur itu.

Sasilah ketika memohon hukuman ringan berkata, dia yang bekerja sebagai tukang masak mempunyai enam anak dengan yang bongsu berumur setahun masih menyusu badan selain suaminya tidak bekerja.

Karthik dan Mageswaran turut memohon hukuman ringan kerana masing-masing terpaksa menanggung keluarga mereka.

Majistret kemudian memerintahkan Sasilah, Karthik dan Mageswaran dihukum penjara masing-masing dua, empat dan lima bulan daripada tarikh penahanan mereka 30 September lalu.

Sasilah yang terkejut atas keputusan mahkamah dilihat menangis teresak-esak manakala Karthik dan Mageswaran dilihat menunduk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 5:59 PM