Nor Fazlina Abdul Rahim


Tanah Merah: Penganggur didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh adiknya di sebuah rumah di Kampung Melayu Sungai Rual, Jeli, bulan lalu.

Tertuduh yang juga warga Thailand, Masofi Masae, 36, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Nasarudin Mohamed.

Mengikut pertuduhan, dia dituduh membunuh Ma-Udeng Masae, 30, di sebuah rumah di Kampung Melayu Sungai Rual, Jeli jam 1.30 pagi pada 29 Disember lalu.

MASOFI didakwa di Mahkamah Majistret, hari ini atas pertuduhan membunuh adiknya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MASOFI didakwa di Mahkamah Majistret, hari ini atas pertuduhan membunuh adiknya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nazuha Mohd Nasir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nazuha dalam pendakwaan memohon tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk pemeriksaan mental.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta dan menetapkan 30 Januari sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 12:27 PM