Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Sungai Siput: Jururawat sebuah hospital swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dakwaan membunuh bayi kandungnya yang berusia lapan bulan, dua minggu lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, T Rebekal, 30, memandangkan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Namun, tertuduh mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa membunuh J Melvin Jeshuran iaitu bayi lelaki berusia lapan bulan di rumah beralamat di No A13, Fasa 2A, Kampung Muhibbah, di sini, kira-kira 6 petang, 24 Julai lalu.

T Rebekal dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh bayinya yang berusia lapan bulan di sini, hari ini. FOTO L Manimaran
T Rebekal dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh bayinya yang berusia lapan bulan di sini, hari ini. FOTO L Manimaran

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R S Vitthiyeswary, manakala tertuduh diwakili peguam, Nahthan Krishnan.

Tiada jaminan ditawarkan.

Majistret Nurul Asyifa Redzuan kemudian menetapkan 3 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2022 @ 10:38 AM