Muhamad Lokman Khairi


Ipoh: Seorang pembantu kedai dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh teman wanitanya, minggu lalu.

Tertuduh, Saini Izwandy Sofian Sani, 23, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, Saini Izwandy didakwa dengan sengaja melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian kepada Shahwani Abdullah, 24, di alamat No 4A, Tingkat 1, Persiaran Rapat Baru 20, Taman Song Choon, di sini antara 5 petang Sabtu hingga 4.54 pagi Ahad lalu.

SAINI Irwandy ketika hadir di Mahkamah Majistret Ipoh. FOTO L Manimaran
SAINI Irwandy ketika hadir di Mahkamah Majistret Ipoh. FOTO L Manimaran

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya N. M Moganaraj Mithra, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Ogos depan bagi sebutan semula sementara menunggu laporan kimia dan lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 10:58 AM