Firdaus (kiri) memeriksa lesen pengguna jalan raya pada Operasi Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Bukit Piatu lewat malam tadi. FOTO Bernama
Firdaus (kiri) memeriksa lesen pengguna jalan raya pada Operasi Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Bukit Piatu lewat malam tadi. FOTO Bernama
BERNAMA

Melaka: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menyita 13 kenderaan dipandu warga asing selepas dikenal pasti gagal mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan pada Operasi Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) di Lebuhraya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Bukit Piatu di sini malam tadi.

Pengarahnya Muhammad Firdaus Shariff berkata sebanyak 187 notis kesalahan dikeluarkan termasuk 165 saman yang dikenakan terhadap penunggang motosikal dan pemandu kereta dalam operasi tersebut.

"Pihak kita juga telah menjalankan pemeriksaan terhadap 495 kenderaan dan 220 kesalahan dikesan membabitkan pelbagai kesalahan,"katanya kepada pemberita selepas tamat operasi di sini malam tadi.

Menurut Muhammad Firdaus, kesalahan tertinggi direkodkan membabitkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans iaitu 103 kesalahan, lesen memandu (69), teknikal (19) dan lain-lain kesalahan antaranya tidak memakai tali pinggang keledar (29).

Dalam operasi lebih dua jam itu melibatkan 83 anggota termasuk daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Muhammad Firdaus berkata selain itu pihaknya turut mengesan seorang lelaki berusia 30-an yang melakukan kesalahan menunggang motosikal ketika masih dalam tempoh penggantungan lesen memandu.

Katanya, AADK juga menahan dua lelaki berusia lingkungan 30-an hingga 40-an selepas ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine.

"Sepanjang Operasi Khas HRAA ini, JPJ turut memeriksa 75 bas ekspress di terminal dan dua telah diambil tindakan selepas didapati tidak diselenggara dengan baik, tayar haus berlebihan selain odometer tidak berfungsi," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 10:22 AM