MOHD Kasyful Azim Harun, 41, dipenjara tiga bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu kerana mencuri duit tabung surau. FOTO: Zatul Iffah Zolkiply.
MOHD Kasyful Azim Harun, 41, dipenjara tiga bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu kerana mencuri duit tabung surau. FOTO: Zatul Iffah Zolkiply.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Padah tidak serik mencuri duit tabung masjid dan surau, seorang nelayan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Kasyful Azim Harun, 41, mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri duit tabung surau di dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat simpanan harta di surau Kampung Bukit Depu di sini, jam 9.30 pagi pada 1 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh bermula daripada tarikh tangkap iaitu pada 4 Jun lalu.

Untuk rekod, tertuduh turut mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes curi duit tabung masjid sebelum ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amalina Najwa Mohd Ali manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Sementara itu, tertuduh turut dipenjara lima tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menghisap dadah.

Hakim Nazlyza Mohamad Nazri membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39 C (1) (b) dan dibaca bersama Seksyen 38B ADB 1952.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memasukkan dadah jenis amphetamine dan Methamphetamine di dalam badannya yang menjadi kesalahan ketiga pernah dilakukan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini, jam 6.40 petang pada 5 September 2023.

Pendakwaan bagi kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 4:14 PM