Tertuduh, Muhammad Faqih Razali, 19, (dua kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang atas pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 80.48 gram pada Jun lalu. FOTO Ihsan PDRM
Tertuduh, Muhammad Faqih Razali, 19, (dua kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang atas pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 80.48 gram pada Jun lalu. FOTO Ihsan PDRM
Zatul Iffah Zolkiply

PENGANGGUR dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang hari ini atas pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 80.48 gram pada Jun lalu.

Tertuduh, Muhammad Faqih Razali, 19, dari Ajil, Kuala Berang mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 80.48 gram di sebuah rumah di Ajil pada 7.30 malam, 29 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh berdepan hukuman sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan sekiranya disabitkan kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 13 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Kuala Berang sementara menunggu laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M Lishantini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 2:13 PM