GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply

MAHKAMAH Tinggi Kuala Terengganu hari ini menolak rayuan seorang wanita berhubung sabitan terhadapnya yang melanggar perintah sekatan kes dadah dan mengekalkan hukuman penjara tiga tahun dikenakan sebelum ini.

Tertuduh, Rosma Mohd Azmi Loong, 38, sebelum ini mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 6 (3) (i) Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Susulan pengakuan bersalah itu, Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada 5 September 2019 menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun.

Bagaimanapun, tertuduh membuat rayuan dengan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan sebelum Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menolak rayuan dengan mengekalkan hukuman terhadap tertuduh berkuatkuasa pada tarikh sabitan iaitu 5 September 2019.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa tidak menjaga keamanan dan tidak berkelakuan baik seperti dinyatakan dalam perintah sekatan Seksyen 6 (3) ADB (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada 4.50 petang 18 Julai 2019.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala tertuduh diwakili peguam daripada Tetuan Nurie Khairuddin & Co.

Mengikut fakta kes, polis membuat semakan terhadap tertuduh yang ditangkap untuk siasatan mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 di pejabat BSJN IPD Kuala Terengganu.

Hasil semakan mendapati tertuduh yang mempunyai rekod berkaitan kes dadah melanggar syarat perintah sekatan mengikut Seksyen 6 (3) (i) ADB LLPK 1985.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 4:12 PM