MOHD Fadrul Ilmi (tengah) dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 13 sebatan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
MOHD Fadrul Ilmi (tengah) dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 13 sebatan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Seorang lelaki terlepas hukuman gantung apabila ditawarkan pertuduhan pilihan daripada mengedar kepada memiliki dadah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohd Fadrul Ilmi Mamat, 42, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 13 sebatan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa kepada hukuman mengikut Seksyen 39A(2) akta sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 69.33 gram di sebuah bilik sewa di Kampung Durian Burung di sini, jam 6 petang pada 21 Februari tahun lalu.

Tertuduh sebelum ini berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) dan boleh dihukum mengikutSeksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 12(2) kerana memiliki dadah jenis sama seberat 5.36 gram di lokasi, masa dan tarikh sama.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama manakala penjara tiga tahun dan tiga sebatan bagi pertuduhan kedua.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 21 Februari tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Mazlan Md. Zain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 4:19 PM