FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI memiliki lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Marang, hari ini atas pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine dan heroin.

Tertuduh, Mansor Ali, 53, membuat pengakuan itu dan memohon dibicarakan ketika tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 8.19 gram (g) di sebuah rumah di Kampung Kemat, Jalan Sekayu, Kuala Berang, pada 4.20 petang, 13 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 berdepan hukuman mengikut Seksyen 39A (1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun dan diwajibkan sebatan rotan antara tiga hingga sembilan kali jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut berdepan pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 3.45 g di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) ADB 1952 berdepan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 kerana memiliki dadah jenis heroin dengan berat kasar 15.24 g di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman mengikut Seksyen 39 B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh berdepan hukuman sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 24 Ogos depan di Mahkamah Majistret Kuala Berang sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 manakala tiada sebarang jaminan ditawarkan bagi pertuduhan ketiga.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Othman Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 4:41 PM