RAMANAM pada Program Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan Sempena Aidiladha di Kota Damansara, hari ini. FOTO Bernama
RAMANAM pada Program Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan Sempena Aidiladha di Kota Damansara, hari ini. FOTO Bernama
Amir Abd Hamid


Petaling Jaya: Sebanyak 36 program Jualan Madani Koperasi (JMK) sudah diadakan di 19 kawasan Parlimen di seluruh negara sejak Januari hingga 7 Jun lalu.

Bagi tempoh itu, jualan berkenaan memberikan manfaat kepada 90,535 pengguna dalam kalangan anggota koperasi dan masyarakat setempat.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan berkata, bagi tempoh sama program juga merekodkan jumlah jualan kira-kira RM3.6 juta melalui 95 koperasi yang dilantik sebagai operator jualan.

Katanya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperuntukkan insentif harga kira-kira RM1 juta bagi koperasi melaksanakan JMK kepada pengguna selaku penerima manfaat.

"Program JMK anjuran Kuskop melalui SKM kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen ini untuk membantu rakyat mendapat barangan keperluan pada harga berpatutan membantu pengguna menghadapi kos sara hidup.

"Barangan keperluan harian asas seperti gula, tepung, minyak, susu, telur dan pelbagai lagi barangan asas dijual pada harga lebih murah daripada harga pasaran.

"Saya berharap program Jualan Madani Koperasi ini akan dilaksanakan berterusan untuk kesejahteraan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi lawatan Program Jualan Madani Koperasi sempena Aidiladha 1445H di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Seksyen 7, Kota Damansara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Rusli Jaafar.

Pada sesi lawatan itu, Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh turut mengumumkan pengunjung mendapat diskaun harga 50 peratus selama satu jam atau sehingga barangan yang dikhususkan untuk 'happy hour' habis dijual.

Selain itu, Ramanan turut menyampaikan sumbangan Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi (TBKK) kemudahan bantuan kepada koperasi yang terjejas akibat bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, kebakaran semula jadi dan lain-lain.

"Bantuan meliputi sebahagian kos pembaikan kerosakan premis, aset atau produk koperasi. Sehingga kini, sebanyak 11 permohonan sudah diluluskan di bawah TBKK membabitkan peruntukan berjumlah RM197,000 seluruh Malaysia," katanya.

Sementara itu, pembeli di JMK, Khurmain Mahadi, 70, berkata, program itu dapat mengurangkan kos sara hidupnya yang kini tidak bekerja.

Dia yang datang bersama isteri, Dayang Nandung Abu Bakar, 58, berkata, pada masa ini mereka bergantung kepada bantuan zakat untuk perbelanjaannya.

"Elok dibuat banyak lagi jualan harga murah seperti ini. Cuma saya minta supaya ada kaunter dan pembantu untuk warga emas yang tidak larat seperti saya kerana menghidap penyakit tulang belakang, asma dan kanser prostat," kata bekas pemandu lori itu.

Pengawal keselamatan, R Mayandi, 65, pula berkata, dia mengambil kesempatan membeli barangan keperluan termasuk beras, telur ayam dan sabun basuh selepas mengetahui program JMK menerusi WhatsApp.

"Kita boleh mengurangkan perbelanjaan berbanding berbelanja di luar sana. Banyak pengurangan harga untuk barang yang dibeli," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2024 @ 1:42 PM