Ewon Benedick ketika sidang media selepas majlis perasmian Karnival Usahawan dan Jualan Mega MADANI (KUJMM) KUSKOP 2024 di Pasar Tani Kekal Simpang Empat hari ini. FOTO BERNAMA
Ewon Benedick ketika sidang media selepas majlis perasmian Karnival Usahawan dan Jualan Mega MADANI (KUJMM) KUSKOP 2024 di Pasar Tani Kekal Simpang Empat hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Arau: Lebih 200,000 rakyat di negara ini menerima manfaat penjimatan kos sara hidup menerusi penganjuran 131 siri Jualan Madani Koperasi termasuk jualan usahawan di seluruh negara bagi tempoh 2023 sehingga kini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata melalui jualan itu terdapat penawaran barangan keperluan asas harian pada harga diskaun sehingga 20 peratus lebih rendah.

"Bagi tujuan ini, sejumlah lebih RM4.1 juta disediakan melalui insentif harga di bawah KUSKOP (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi (KWAPd) SKM (Suruhanjaya Koperasi Malaysia)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Usahawan dan Jualan Mega MADANI (KUJMM) KUSKOP 2024 di Pasar Tani Kekal Simpang Empat dekat sini hari ini yang disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut berangkat pada majlis perasmian itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

KUJMM KUSKOP 2024 itu berlangsung selama tiga hari bermula semalam.

Ewon berkata inisiatif jualan itu juga memberikan manfaat terhadap perkembangan perniagaan kepada lebih 221 koperasi dan usahawan.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian itu, Ewon berkata kementerian melalui agensi di bawahnya seperti Tekun Nasional, SKM, Bank Rakyat, SME Bank dan SME Corp Malaysia menyalurkan bantuan pembiayaan sejumlah RM12,433,960 kepada usahawan dan koperasi di Perlis yang berkelayakan.

"Saya amat yakin ini dapat melengkapkan usaha kerajaan dalam membantu membangun usahawan-usahawan dan koperasi kita di seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 1:47 PM