EWON Benedick (dua kiri) menunjukkan buku Dasar Koperasi Malaysia ketika majlis peluncuran Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKom2030) di Bangi. FOTO Hairul Anuar Rahim
EWON Benedick (dua kiri) menunjukkan buku Dasar Koperasi Malaysia ketika majlis peluncuran Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKom2030) di Bangi. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mahaizura Abd Malik

Bangi: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) mencadangkan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) diperluaskan kepada gerakan koperasi bagi menarik penyertaan belia dan golongan berpendapatan rendah menjana pendapatan.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, pada masa ini, pembabitan belia dan kumpulan berpendapatan rendah dalam koperasi secara relatifnya rendah berikutan kurangnya minat serta melihat koperasi sebagai aktiviti ekonomi bukan utama bagi mereka.

"Bagi menggalakkan penyertaan kumpulan ini, kementerian mencadangkan kepada kerajaan menerusi Kementerian Ekonomi supaya program IPR diperluaskan kepada gerakan koperasi dengan insentif peruntukan khas diberikan kepada kumpulan belia, B40 dan kumpulan rentan.

"Ia bagi membolehkan mereka menjana pendapatan melalui pelbagai aktiviti ekonomi koperasi seperti sektor agromakanan, perkhidmatan pelancongan, kiosk, dobi, penyelenggaraan dan sebagainya," katanya pada Majlis Pelancaran Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030) di sini, hari ini.

Beliau berkata, kementerian juga menjalankan kerjasama rentas kementerian dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membantu koperasi membuka lebih banyak kedai peruncitan (Coopmart) di setiap Projek Perumahan Rakyat (PPR).

"Optiknya adalah penduduk PPR dapat menikmati penjimatan secara langsung untuk pembelian barangan dapur daripada koperasi.

"Justeru, Kementerian berharap KPKT dapat menyediakan lebih banyak ruang niaga untuk koperasi Coopmart di setiap Projek Perumahan Rakyat," katanya.

Katanya, kementerian melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan pembabitan gerakan koperasi juga berusaha menawarkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan kepada rakyat melalui inisiatif Jualan Madani Koperasi.

"Berdasarkan sambutan rakyat yang amat menggalakkan, kementerian ini amat berharap dapat melaksanakan program Jualan Madani Koperasi yang diperluaskan liputannya kepada warga koperasi di seluruh negara.

"Kalau Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mempunyai flagship programnya tersendiri iaitu Jualan Rahmah dengan amaun peruntukan besar, apalah kiranya kementerian ini diberikan mandat yang hampir sama dengan peruntukan khas dari kerajaan untuk meneruskan program Jualan Madani Koperasi.

"Pada masa ini, isu kos sara hidup sering menghimpit rakyat umum terutama dalam kalangan B40 mahupun golongan M40 yang terbeban dengan kenaikan harga barangan asas keperluan harian jadi program ini boleh menawarkan jualan kepada masyarakat setempat pada harga lebih rendah berbanding pasaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 4:27 PM