USTAZ Don Daniyal Don Biyajid. FOTO arkib NSTP
USTAZ Don Daniyal Don Biyajid. FOTO arkib NSTP
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memanggil pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid bagi mendapatkan perincian berhubung isu kontroversi dikaitkan dengan penceramah itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, beliau akan bercakap dengan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berhubung perkara itu dan pertemuan itu tidak perlu diadakan secara serius.

"Malah mungkin boleh jemput Don Daniyal untuk minum teh secara santai.

"Sebagai umat Islam kita perlu ada sifat tawaduk dan rendah diri untuk menerima dan mengaku sekira melakukan kesilapan tidak kira sebesar mana kesilapan dilakukan," katanya.

Menurutnya, dalam Islam juga ada menyatakan nasihat menasihati antara satu sama lain menjadi asas agama dan JAKIM turut mengambil pendekatan itu.

"Saya menasihati kepada semua agamawan supaya berhati-hati dalam menyampaikan ceramah. Pastikan terlebih dahulu terutamanya hadis yang disebutkan perlu disemak dan benar-benar sahih," katanya selepas merasmikan Konvensyen Perundangan Syariah anjuran Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan di sini, tadi.

Kelmarin media melaporkan, Don Daniyal direhatkan daripada bersiaran dalam program Salam Baitullah selepas Radio Televisyen Malaysia ( RTM) membuat keputusan itu.

Penceramah selebriti itu direhatkan susulan isu pertikaian di media sosial berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW hingga mengundang pelbagai kritikan dari beberapa pihak.

PUTRAJAYA 6 JUN 2024.Mohd Na'im (tengah) beramahmesra bersama peserta yang hadir dalam Konvensyen Perundangan Syariah anjuran Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan di sini hari ini.Foto/NSTP Samadi Ahmad.
PUTRAJAYA 6 JUN 2024.Mohd Na'im (tengah) beramahmesra bersama peserta yang hadir dalam Konvensyen Perundangan Syariah anjuran Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan di sini hari ini.Foto/NSTP Samadi Ahmad.

Mohd Na'im berkata, di setiap negeri terdapat jawatankuasa tauliah yang memberikan tauliah kepada penceramah yangingin menyampaikan ceramah berkaitan isu keagamaan.

Katanya, dalam konteks Malaysia MADANI sememangnya kerajaan mahu lahirkan rakyat yang berilmu pengetahuan dan di sini peranan agamawan diperlukan dalam membentuk masyarakat.

"Penganjur juga boleh merujuk kepada jabatan mufti negeri masing-masing untuk menentukan sama ada penceramah itu memperoleh tauliah atau tidak," katanya.

Ustaz Don Daniyal direhatkan daripada bersiaran di RTM

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 2:54 PM