Ustaz Don.
Ustaz Don.
Wartawan HM


Kuala Lumpur: Tular di WhatsApp mengenai notis dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung penangguhan program ceramah dan kuliah agama membabitkan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid atau lebih dikenali sebagai Ustaz Don.

Dalam notis bertarikh 21 Jun 2024 itu tertera penangguhan membabitkan penceramah berkenaan merangkumi semua agensi dan institusi masjid, surau serta musollah di Selangor.

"Sehubungan dengan itu, sebarang program ceramah/kuliah membabitkan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid di semua agensi dan institusi masjid, surau serta musolla di Negeri Selangor hendaklah ditangguhkan.

"Penangguhan membabitkan semua program yang telahpun mendapat persetujuan awal untuk dilaksanakan dan termasuk sebarang program yang sedang di peringkat perancangan.

"Sebarang perubahan berkaitan penangguhan ini akan dimaklumkan semula," kata kandungan notis itu yang turut diterima pihak Harian Metro.

Di akhir notis yang tertera tandatangan Pengarah Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad itu turut bertulis salinan kepada beberapa pihak.

Sementara itu, Mohd Shahzihan yang dihubungi enggan mengulas ketika diajukan perkara berkenaan.

Usaha Harian Metro menghubungi pihak Ustaz Don turut belum menerima sebarang maklum balas.

Media sebelum ini melaporkan RTM menamatkan khidmat Ustaz Don sebagai pengacara program Salam Baitullah selepas beliau mengulangi perbuatan ingkar arahan penerbit dan tidak patuh skrip.

Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman dilaporkan berkata, sebagai pengacara, Ustaz Don sepatutnya patuh kepada skrip dan tidak memetik mana-mana kitab atau hadis ketika bersiaran.

Kemudian, pendakwah selebriti itu memohon maaf berikutan memberi kenyataan mengelirukan di sebuah stesen radio berhubung ibadah berpuasa pada hari kedua, ketiga dan keempat Aidiladha.

Baru-baru ini pula ketika ditanya Petugas Media Tabung Haji di Makkah berhubung permohonan maaf terbaharu dibuat pendakwah itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar melahirkan rasa terkilan isu itu masih berlarutan walaupun sebelum ini sudah memberi arahan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk berbincang dengan Ustaz Don.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 2:46 PM