DR Md Amin (dua, kanan) memegang plak pencapaian UPSI bersama Dr Muhammad Noorazlan diiringi Pendaftar Helmi Zaifura Abdul Rahman (kanan) dan Bendahari Mohamad Najib Mohamed. FOTO Ihsan UPSI.
DR Md Amin (dua, kanan) memegang plak pencapaian UPSI bersama Dr Muhammad Noorazlan diiringi Pendaftar Helmi Zaifura Abdul Rahman (kanan) dan Bendahari Mohamad Najib Mohamed. FOTO Ihsan UPSI.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menduduki kedudukan tunggal ke-205 dalam QS The World University Ranking peringkat Asia.

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pengiktirafan bagi tahun 2022 itu berbanding kedudukan berjulat 281- 290, tahun sebelumnya.

Katanya, UPSI berjaya membuktikan penjenamaan di rantau Asia dan bersyukur kerana kali keempat melakar kejayaan yang membanggakan seluruh warga kampus.

"Kejayaan keempat bagi tahun 2021 ini adalah pengiktirafan kepada UPSI sebagai sebuah universiti berteraskan pendidikan yang berusia 100 tahun dan pencapaian UPSI semakin menyerlah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kejayaan itu juga adalah hadiah sempena sambutan 100 tahun universiti itu pada tahun depan dan beliau berterima kasih kepada seluruh warga UPSI yang berkorban tenaga, usaha serta kerjasama demi mengharumkan nama universiti.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Korporat UPSI Dr Muhammad Noorazlan Abd Azis berkata, penanda aras utama dalam penarafan tersebut mengambil kira enam indikator seperti reputasi akademik dan majikan, nisbah pelajar atau fakulti, sitasi bagi fakulti, nisbah fakulti antarabangsa serta nisbah pelajar antarabangsa.

"UPSI menunjukkan lonjakan peningkatan bermula dari 2019 yang mencatatkan kedudukan 401-450 di Asia kepada kedudukan 205 bagi 2022," katanya.

Katanya, pencapaian itu adalah yang terbaik sejak UPSI menyertai penarafan berkenaan hasil daripada pelaksanaan pelan strategik UPSI 2021-2025 merangkumi aspek akademik, penyelidikan, kewangan dan pentadbiran.

"Diharapkan UPSI mampu memacu agenda pendidikan negara dan menjadi peneraju utama kepada produk keguruan di Malaysia dan antarabangsa," katanya.

1.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 7:31 PM