GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Azizah Mokhtar

WANITA yang dicari berhubung kes dera membabitkan dua bayi lelaki ketika dalam jagaan taska di Taman Desa Saujana, Kajang, semalam, ditahan, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, wanita berusia 31 tahun itu dan berasal dari Bandar Baru Bangi ditahan pada 5.45 petang di Kapar, Klang.

"Suspek bekerja sebagai pengasuh di taska berkenaan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bersabit kes penderaan dua bayi berkenaan yang dilaporkan berlaku semalam itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malam tadi, Fadzil memaklumkan pihaknya mengesan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu selepas suami isteri membuat laporan polis selepas mengesyaki anak mereka didera.

Kejadian itu disedari apabila bayi pasangan itu yang berusia lima bulan muntah selepas diambil dari taska berkenaan, 4.30 petang, semalam.

Bayi itu kemudian dibawa untuk rawatan di Hospital Putrajaya dan doktor menemui kesan lebam pada bahagian dada selain kesan jalur kira-kira satu sentimeter disyaki kesan kuku jari.

"Pada hari sama, satu lagi suami isteri juga menemui kesan lebam pada leher bayi mereka berusia tujuh bulan yang turut dijaga di taska sama.

"Mereka yang mengesyaki bayi mereka didera kemudian membawa bayi mereka ke Hospital Putrajaya untuk rawatan," kata Fadzil.

Menurutnya, suami isteri itu kemudian meminta pemilik taska memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska terbabit dan mendapati seorang pengasuh di situ dilihat menghempas dan menggoncang seorang daripada bayi.

Penahanan wanita terbabit dipercayai dapat membantu polis menyelesaikan siasatan berhubung kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 6:39 PM