DR Wan Azizah Wan Ismail pada Majlis Penutupan Rasmi Hari Puteri Peringkat Kebangsaan Pergerakan Puteri Islam Malaysia 2018. FOTO Aziah Azmee
DR Wan Azizah Wan Ismail pada Majlis Penutupan Rasmi Hari Puteri Peringkat Kebangsaan Pergerakan Puteri Islam Malaysia 2018. FOTO Aziah Azmee
Fairul Asmaini Mohd Pilus


TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu hukuman berat dikenakan terhadap pelaku kes kematian bayi yang dipercayai didera secara fizikal dan seksual di Kajang, Jumaat lalu.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kejadiaan menyayat hati itu sukar diterima oleh masyarakat

"Saya tidak boleh menerima mengapa ada yang sanggup melakukan perkara sedemikian kepada seorang bayi?

"Walaupun pelakunya diuji positif dadah namun ia tetap adalah satu jenayah yang kejam.

"Justeru, keadilan harus diambil dan pengajaran hukuman berat perlu dikenakan ke atasnya (pelaku) terbabit," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Hari Puteri Peringkat Kebangsaan, Pergerakan Puteri Islam Malaysia 2018 di Kompleks Darul Puteri, Cheras, hari ini.

Jumaat lalu, bayi perempuan berusia 11 bulan maut, selepas dua hari dilaporkan tenat apabila dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuh.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, pemeriksaan pihak hospital mendapati terdapat kesan koyakan baru pada kemaluan mangsa.

Piihak hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia, 10.30 pagi Jumaat, selepas dua hari dirujuk ke Hospital Serdang.

"Laporan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan kesan objek tumpul di kepala dengan tempurung kepala bayi terbabit pecah, selain kesan lebam pada bahagian atas kepala mangsa.

"Selain itu, terdapat juga kesan penderaan seksual terhadap bayi berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, di sini

Susulan itu, polis menahan pengasuh dan suaminya masing-masing berusia 28 dan 36 tahun untuk siasatan lanjut dan kes itu diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, mengulas berhubung kes penghuni rumah kebajikan dan anak yatim milik persendirian di Temerloh, Pahang yang dipercayai didera serta dicabul, Dr Wan Azizah berkata, 29 kanak-kanak terbabit sudah diselamatkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kata beliau, semua kanak-kanak berkwnaan juga sudah dibawa menjalani pemeriksaaan lanjut di hospital.

"27 daripada mereka juga sudah kembali kepada keluarga masing-masing dan hanya dua yang masih dalam jagaan JKM.

"Ia kerana dua kanak-kanak terbabit tiada waris terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 4:40 PM