GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Semenyih: Dua wanita yang juga pengasuh di sebuah taska di daerah ini ditahan bagi membantu siasatan membabitkan kes penderaan serta pengabaian seorang bayi autistik dalam kejadian 24 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, terdapat satu hantaran di Facebook yang memaparkan beberapa video penderaan dan pengabaian bayi autistik yang juga anak kepada pemilik akaun terbabit di sebuah taska di daerah ini, kelmarin.

"Kami menerima laporan dibuat seorang wanita berusia 35 tahun bersabit kejadian yang ditularkan berkenaan 7.50 malam pada 27 Januari lalu.

"Menurut pengadu, dia menyedari kesan lebam pada dahi anak perempuannya berusia 11 bulan ketika mengambilnya dari taska berkenaan pada 24 Januari lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska itu mendapati mangsa terjatuh dari kerusi bayi.

"Pengadu memaklumkan dia menerima mesej daripada individu tidak dikenali selepas kejadian yang menghantar beberapa video memaparkan perbuatan disyaki penderaan dan pengabaian terhadap mangsa oleh pengasuh di taska terbabit.

"Mangsa dihantar ke pusat asuhan itu sejak Ogos lalu. Pemeriksaan dilakukan di Hospital Kajang mendapati mangsa disahkan mengalami soft tissue injury over frontal (kecederaan tisu lembut di bahagian hadapan kepala)," katanya.

Susulan itu, katanya, polis menahan dua wanita masing-masing berusia 22 tahun yang juga pengasuh di taska berkenaan kira-kira 2 petang pada 29 Januari lalu.

"Hasil ujian awal saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan semakan dilakukan mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah.

"Kedua-dua suspek kemudian diberi jaminan selepas keterangan diambil dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan sebelum kertas siasatan dilengkapkan untuk dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Faeez Norzah di talian 013-2773407 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 6:09 PM