DATUK Seri Azam Baki (atas) bersama Dato Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil (bawah) selepas majlis perasmian SPRM FIFA 21 Challenge. FOTO ihsan SPRM
DATUK Seri Azam Baki (atas) bersama Dato Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil (bawah) selepas majlis perasmian SPRM FIFA 21 Challenge. FOTO ihsan SPRM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menganjurkan kejohanan e-sukan SPRM FIFA 21 Challenge sebagai usaha menyebarluaskan mesej antirasuah dalam kalangan belia.

Bertemakan Belia Menentang Rasuah, kejohanan secara dalam talian itu disertai disertai 2,048 atlet e-sukan sebagai kesinambungan program PUBG Mobile i-Challenge yang pernah dianjurkan oleh SPRM sebelum ini bagi mendekati kumpulan belia yang meminati e-sukan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, industri e-sukan semakin pesat berkembang dan membangun di seluruh dunia sehingga ianya dipertandingkan di peringkat dunia.

"Ia menjadikan sukan berkenaan diminati ramai terutama golongan belia maka pendekatan e-sukan boleh digunakan sebagai salah satu medium untuk menerapkan mesej antirasuah kepada masyarakat.

"Program ini juga memenuhi inisiatif Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023, iaitu menyebar luas mesej antirasuah dalam konteks hubungan antara insan melalui pelbagai saluran media secara berterusan.

"Ia secara tidak langsung mendekati golongan belia yang berada di luar sistem pendidikan formal melalui kelab, persatuan dan organisasi belia untuk menerapkan nilai integriti, tadbir urus dan antirasuah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan SPRM FIFA 21 Challenge secara dalam talian, hari ini.

Pertandingan itu bermula hari ini sehingga 15 Julai ini bagi saingan kelayakan di setiap negeri, manakala Grand Finale diadakan pada 17 Julai ini 2021 dengan dua pemain dari setiap negeri akan bersaing untuk bergelar juara.

Azam berkata, dengan peningkatan teknologi terkini, semua outreach program tidak semestinya dibuat secara bersemuka di mana orang ramai perlu berkumpul di sesebuah tempat.

"Dengan adanya Open Broadcast System dan media sosial seperti Facebook, ia boleh digabung dan dijadikan sebagai salah satu platform untuk mendekati pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha mendidik tentang bahayanya rasuah.

"Walaupun dalam keadaan penularan wabak Covid -19, usaha pencegahan rasuah tidak boleh dihentikan begitu sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 4:56 PM