Azam Baki ditemui wartawan pada Prapelancaran Projek Kerjasama Penerbitan dan Program Penerapan Nilai Integriti (Antirasuah) Usaha Sama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) di PBAKL 2024. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Azam Baki ditemui wartawan pada Prapelancaran Projek Kerjasama Penerbitan dan Program Penerapan Nilai Integriti (Antirasuah) Usaha Sama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) di PBAKL 2024. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung penyelewengan berkait penukaran status tanah rizab Melayu diminta melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini pihaknya hanya menerima laporan mengenai kes berkaitan yang berlaku di Perak.

"Kes ini terpencil... berlaku di Perak. Sekiranya ada laporan dan maklumat yang diterima berhubung penyelewengan hal berkaitan tukar status tanah rizab Melayu kepada 'freehold' (hak milik kekal) ini adalah kesalahan jenayah dan sudah tentu kita akan jalankan siasatan," katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Prapelancaran Projek Kerjasama Penerbitan dan Program Penerapan Nilai Integriti (Antirasuah) Usaha Sama SPRM dan

Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), Azman Adnan.

Selasa lalu, media melaporkan pengarah urusan sebuah syarikat hartanah berusia 44 tahun direman empat hari untuk siasatan, disyaki memberi rasuah kepada pegawai kerajaan berkait tanah rizab Melayu di Perak seluas kira-kira 650 hektar yang ditukar status kepada bukan rizab Melayu.

Tanah itu kemudian dipindah milik kepada 317 individu serta syarikat bukan Bumiputera di mukim Setiawan, Manjung, Perak.

Dalam kes berasingan, Azam turut memaklumkan tiada tindakan diambil SPRM berhubung dua pegawai kanan polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berhubung kes rasuah RM1.25 juta.

"Saya nak maklumkan itu adalah kes yang disiasat pihak polis.

"Tindakan proaktif itu adalah amat disanjung dan mereka (dua pegawai) telah dituduh di mahkamah. SPRM tidak akan ambil apa-apa siasatan lanjut berhubung perkara itu," katanya.

Semalam, Ketua Penolong Pengarah Siasatan Perakaunan Forensik, Asisten Komisioner Chin Khiam Kong, 54, dan Ketua Unit Siasatan Jenayah Cryptocurrency, Deputi Superintenden Suhairon Abdullah, 42, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan rasuah RM1.25 juta.

Perbuatan itu dipercayai bagi menutup siasatan kes seorang ahli perniagaan berhubung mata wang kripto bagi pembelian senjata api oleh warga Israel, bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 3:04 PM