KEMPEN antirasuah dilaksanakan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) pada November 2021. Kelihatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim melihat paparan poster elektronik antirasuah. FOTO arkib NSTP
KEMPEN antirasuah dilaksanakan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) pada November 2021. Kelihatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim melihat paparan poster elektronik antirasuah. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sektor swasta digalak mengambil bahagian melaksanakan program integriti dan antirasuah dalam usaha menyemarakkan budaya integriti dan benci rasuah dalam kalangan masyarakat.

Pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu membolehkan syarikat mendapat potongan cukai di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Kelulusan secara dasar ini diberi oleh Menteri Kewangan melalui surat Kementerian Kewangan (MoF) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertarikh 5 April 2021.

Berdasarkan peruntukan itu, syarikat atau penyumbang layak memohon potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan satu amaun bersamaan dengan amaun perbelanjaan yang dibuat.

Insentif pelepasan cukai itu dapat menggalakkan lebih banyak syarikat atau organisasi korporat bekerjasama dengan SPRM melaksanakan program pencegahan dan pendidikan rasuah.

Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Mohamad Tarmize Abdul Manaf berkata, beberapa syarikat sudah berjumpa SPRM dan menyatakan hasrat untuk mengadakan program CSR berkaitan integriti dan antirasuah.

"Inisiatif itu baru saja diumumkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada bulan lalu selepas MoF meluluskan garis panduan yang disediakan oleh SPRM berhubung penganjuran program integriti dan antirasuah yang boleh dipertimbangkan untuk mendapat potongan cukai.

"Kita berharap selepas ini lebih banyak syarikat atau organisasi tampil untuk menganjurkan program atau aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat. Perkara ini adalah sumbangan penting sektor korporat kepada usaha membudayakan integriti dan benci rasuah dalam kalangan masyarakat kita," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas mengenai garis panduan penganjuran program untuk melayakkan syarikat mendapat potongan cukai, Tarmize berkata, program mesti dijalankan dengan kerjasama SPRM sama ada di peringkat Ibu Pejabat atau negeri.

"Selain itu, program hendaklah memberi manfaat kepada masyarakat umum, termasuk pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah, bukan hanya kepada kakitangan syarikat berkenaan.

"Program juga bukan aktiviti utama perniagaan syarikat, tidak bermotifkan keuntungan dan tidak menyentuh isu politik semasa.

"Program boleh dianjurkan dalam dua bentuk sama ada aktiviti pendidikan berkaitan integriti dan antirasuah secara bersemuka atau dalam talian contohnya, seminar, forum dan walkabout atau melalui hebahan media merangkumi media elektronik, media cetak serta media sosial," jelasnya.

Tarmize berkata, syarikat atau organisasi yang berminat boleh menghubungi Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM atau Pengarah SPRM negeri untuk mendapat maklumat lanjut atau memulakan perbincangan bagi mengadakan program integriti dan antirasuah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 3:18 PM