SHAMSHUN Baharin, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
SHAMSHUN Baharin, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Putrajaya: Hasil kajian Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan tahap pengetahuan masyarakat mengenai rasuah meningkat setiap tahun.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, statistik menunjukkan tahap peningkatan itu adalah pada 2018 (72.5 peratus) kemudian meningkat kepada 74.3 peratus (2019) dan pada tahun lalu (77.7 peratus).

Mengulas lanjut, katanya, tahap kesanggupan, kesediaan dan kerjasama masyarakat untuk bersama-sama SPRM memerangi rasuah juga meningkat setiap tahun sejak 2018.

"Menerusi kajian itu mendapati tahap kesanggupan masyarakat pada 2018 direkodkan pada kadar 82 peratus dan ia meningkat kepada 82.7 peratus pada 2019 dan 86.3 peratus pada 2020.

"Bagi tahap kesediaan masyarakat pula, pada 2018 adalah sebanyak 81.1 peratus dan meningkat kepada 82.1 peratus pada 2019 dan 85.6 peratus pada tahun lalu.

"Tahap kerjasama masyarakat bersama SPRM pula, pada 2018 adalah sebanyak 81 peratus diikuti 81.8 peratus pada 2019 dan 84.6 peratus pada tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Strategic Engagement dengan media Sempena Hari Kebebasan Media Sedunia, di sini, hari ini.

Menurutnya sebelum ini, SPRM juga sudah memasukkan elemen pendidikan antirasuah dalam buku teks subjek Bahasa Melayu bagi murid Tahun Lima.

"Terbaharu, menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) Siri 14 Bilangan 1 Tahun 2021 pada 19 April lalu, mesyuarat bersetuju supaya Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) ditawarkan sebagai subjek elektif peringkat Sijil, Diploma dan Sarjana Muda di semua Institusi pengajian tinggi mulai tahun 2022 dan seterusnya diperkasa untuk ditawarkan sebagai salah satu kursus mata pelajaran Pengajian Umum (MPU) mulai tahun 2023.

"Seperti sedia maklum, peranan SPRM bukan sahaja pada pengoperasian, tetapi SPRM juga membantu negara untuk melatih agensi-agensi kerajaan bagi mereka membina Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) masing-masing.

"SPRM menempatkan seramai 80 pegawai integriti (CeIO) di bahagian integriti agensi awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membantu pelaksanaan OACP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 11:44 PM