Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membenarkan tempoh lanjutan pengisytiharan harta dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, peguam kepada Mirzan Mahathir dan Tan Sri Mokhzani Mahathir sudah berhubung dengan pengawai penyiasat mengenai tempoh pengisytiharan.

"Kita sudah tetapkan tempoh tarikh mereka mula-mula kena isytiharkan, jadi kita dah bersetuju dengan itu.

"Saya beri lagi penambahan tempoh untuk mereka isytiharkan harta," katanya selepas Majlis Prapelancaran Projek Kerjasama Penerbitan dan Program Penerapan Nilai Integriti (Antirasuah) Usaha Sama SPRM dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), Azman Adnan.

AZAM berucap pada Prapelancaran Projek Kerjasama Penerbitan dan Program Penerapan Nilai Integriti (Antirasuah) Usaha Sama SPRM dan ITBM. FOTO Saifullizan Tamadi
AZAM berucap pada Prapelancaran Projek Kerjasama Penerbitan dan Program Penerapan Nilai Integriti (Antirasuah) Usaha Sama SPRM dan ITBM. FOTO Saifullizan Tamadi

Pada 24 Mei lalu,media melaporkan kedua-dua anak Tun M memohon lanjutan tempoh pengisytiharan harta walaupun telah diberikan sebelum ini.

SPRM sekali lagi memberi tempoh lanjutan 30 hari bagi dua anak Mahathir mengisytiharkan harta milik mereka Pada 26 Mei.

Pada 18 Januari lalu, kedua-dua ahli perniagaan itu diberi notis untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009.

Dalam pada itu, media turut melaporkan Mokhzani juga disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 2:08 PM