AZAM (tengah) bersama pemenang Anugerah Media SPRM 2023. FOTO Asyraf Hamzah.
AZAM (tengah) bersama pemenang Anugerah Media SPRM 2023. FOTO Asyraf Hamzah.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Media arus perdana masih menjadi sumber utama berita dan perlu diyakini berbanding media sosial.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kelompok media arus perdana terdiri daripada kumpulan pengamal media yang profesional, terlatih, berlesen dan berautoriti.

"Jadi penyampaian berita yang dihasilkan itu berpandukan kepada sumber yang sahih.

"Media arus perdana turut memainkan peranan yang signifikan dalam menangkis penularan berita-berita palsu yang disebarkan di media sosial dan jangan pula menjadikan berita tohmahan di media sosial yang tidak dapat dipastikan kesahihahnya sebagai berita di arus perdana," katanya ketika berucap pada Anugerah Media SPRM 2023 di sini, hari ini.

Azam berkata, SPRM selaku agensi penguat kuasa antirasuah Malaysia perlu terus teguh menunaikan fungsinya dengan bebas, telus dan profesional bagi memastikan impak yang positif ke arah mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada rasuah, selaras dengan visi dan misi SPRM.

"Sokongan daripada semua pihak khususnya media selain Institusi Diraja, kepimpinan politik, kerajaan, swasta dan seluruh masyarakat sangat penting agar perjuangan murni SPRM dalam membanteras rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.

"Tambahan pula, rasuah merupakan jenayah yang 'unik' sifatnya. Penjenayah-penjenayah rasuah pada masa kini semakin licik dan berpengetahuan dalam mengatasi kelemahan undang-undang sedia ada.

"Era dunia tanpa sempadan dan perkembangan pesat teknologi maklumat, menyebabkan tugas membanteras rasuah semakin mencabar dan bertambah kompleks.

"Oleh itu, SPRM turut bergantung kepada media bagi memastikan segala informasi dan mesej antirasuah sampai ke setiap lapisan masyarakat di negara ini termasuk di agensi kerajaan, swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pusat pendidikan dan juga masyarakat di setiap program, operasi atau aktiviti yang dijalankan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, SPRM akan memastikan agenda pemantapan tatakelola serta penginstitusian integriti menjadi asas utama.

"Isu-isu tatakelola ini meliputi pelbagai perkara termasuk integriti atau isu-isu peyelewangan serta rasuah. Dalam hal ini, Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM terus menerajui enam fungsi utama dalam mengambil alih peranan Pusat Governans, Intergriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) sebelum ini.

"BPGN berperanan untuk menasihati kerajaan dan melaporkan perkembangan NACS kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan Perdana Menteri," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 10:19 PM